NEGERI SEMBILAN, NEGERI PERTAMA GUNA APLIKASI ATASI KEMURUNGAN

Isnin, 19 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/2

SEREMBAN: Negeri Sembilan menjadi negeri pertama menggunakan aplikasi bagi mengatasi masalah kemurungan yang dinamakan sebagai 'Reset App'.

Pengarah Urusan The LOA Centre (M) Sdn Bhd (The LOA Centre), A Sivapragasam berkata, penggunaan aplikasi itu boleh membantu Negeri Sembilan mencapai status negeri gembira nombor satu di Malaysia.

"(Kajian) dalam Malaysia (menunjukkan) 29.2 peratus rakyat berumur lebih 16 tahun mengalami tekanan jiwa. (Contoh) saya jumpa tiga orang, seorang ada tekanan jiwa.


"Kita tak buat sekali saja (kajian ini), tapi kita buat enam bulan dalam setahun dan ada enam sesi. Minda ini kita tak boleh tukar macam itu saja, sebab ia adalah satu proses.
 
 

"Jadi, kita ambil langkah proaktif dengan mewujudkan satu aplikasi iaitu 'Reset App'', katanya ketika ditemui NS Daily di Royale Chulan Seremban, di sini, tempoh hari.

Mengulas lanjut, Sivapragasam berkata, menerusi aplikasi ini juga orang ramai boleh mengukur tahap kegembiraan mereka pada setiap hari.

"'Reset App ini telah dibangunkan sejak setahun lalu dan setakat ini kita sudah ada hampir 6,000 'download' (muat turun) melibatkan hampir 30 negara termasuk Malaysia. 

"Kita juga ada Kelab Masyarakat Minda Positif Negeri Sembilan (LOA Club). Kita mulakan aplikasi ini di Negeri Sembilan dulu dan (akan) dikembangkan ke negeri lain secara berperingkat," katanya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan menganjurkan program Reset Minda di sekitar Seremban dengan kerjasama PH Gem pada September depan dengan anggaran hampir 100 penyertaan.

Sebelum ini, majlis pelancaran 'Reset App' telah disempurnakan oleh Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Puan Nicole Tan Lee Koon di Palm Mall pada 18 Jun lalu.

Diminta mengulas mengenai aplikasi berkenaan, Nicole berkata, Kerajaan Negeri menyokong penggunaannya sebagai usaha mengatasi masalah kemurungan.

Pada masa sama, kata beliau, kewujudan aplikasi itu berupaya membantu masyarakat untuk menjalani kehidupan dengan gembira dan sihat.