DADAH BERNILAI RM3.6 JUTA DILUPUSKAN

Rabu, 18 September 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Jurufoto: Nurul Haryani Hasrol

1/3

SEREMBAN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Negeri Sembilan menjalankan pelupusan pelbagai jenis dadah hari ini, dengan jumlah anggaran nilai rampasan sebanyak RM3.6 juta.

Ketua JSJN Kontinjen Negeri Sembilan, Superintenden Pang Jin Lai berkata, dadah berkenaan merupakan barang kes yang telah selesai perbicaraan membabitkan 1,284 kertas siasatan bagi tahun 2000 hingga 2018.

Menurutnya, kesemua dadah tersebut telah disimpan di stor barang kes Bahagian Narkotik Kontinjen Negeri Sembilan.
 

"Heroin sebanyak 5,082.35 gram; ganja 2,915.59 gram; syabu 1,542.19 gram; ketamin 222.92 gram; nimetizepam 43,478.08 gram; pil yaba 17.94 gram dan pil erimin 5 pula 171.79 gram.

"Seterusnya methadone sebanyak 0.11 liter; daun ketum 108,475.47 gram; air ketum 419.23 liter manakala 20 botol melibatkan lain-lain jenis dadah," katanya ketika menjelaskan senarai dadah yang terlibat untuk dilupuskan.

Tambahnya lagi, proses pelupusan kesemua dadah berkenaan bakal dilaksanakan di Pusat Kualiti Alam Sdn Bhd, Sendayan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita menerusi sidang media yang diadakan di pekarangan Balai Polis Sikamat, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, katanya, JSJN Negeri Sembilan telah berjaya menumpaskan beberapa kumpulan pengedar dalam tempoh 11 hingga 14 September lalu.

"Operasi khas ini dijalankan secara berasingan, melibatkan kawasan Seremban dan Port Dickson.

"Tangkapan melibatkan tujuh lelaki Melayu; seorang lelaki Cina dan seorang perempuan Melayu.

"Kita turut merampas syabu dengan anggaran berat 288.3 gram; heroin 142.74 gram; ketamin 52 gram; pil ecstasy 12.9 gram dan pil erimin 5 pula 18 gram. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM61,000," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan menerusi hotline JSJN iaitu 012-2087222.

"Maklumat juga boleh dihantar ke hotline ini dalam bentuk mesej melalui sistem pesanan ringkas dan WhatsApp," katanya.