MAYAT NORA TELAH DITUNTUT

Sabtu, 17 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/1

SEREMBAN: Mayat Nora Anne Quoirin akhirnya dituntut dan dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), di sini, sekitar jam 12.45 malam tadi. 

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Dato' Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi oleh petugas media yang menunggu di pekarangan hospital itu sejak jam 10.30 malam. 

"Mayat Nora telah dituntut dan dipercayai dalam perjalanan menuju ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur)," katanya. 

Terdahulu, sebuah van berwarna kelabu jenis Toyota dilihat masuk ke pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, HTJS sekitar jam 12.40 malam dan membawa sebuah keranda warna coklat. 

Sejurus selepas itu kelihatan keranda itu dibaluti kain putih dan dimasukkan semula ke dalam van tersebut. 

Ketika proses membawa keluar mayat remaja warga Ireland itu, hanya terdapat beberapa pengawal keselamatan dan tiga lelaki dipercayai anggota polis bagi membantu mengawal keadaan.