IPD SEREMBAN WAJAR JADI CONTOH TELADAN

Rabu, 17 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Foto: Ihsan PDRM

1/2

SEREMBAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban wajar menjadi contoh teladan kepada semua IPD lain di negeri ini, dalam usaha memberikan perkhidmatan yang lebih mantap untuk masyarakat.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Dato' Mohamad Mat Yusop berkata, ini berdasarkan pengiktirafan diterima IPD Seremban selaku Daerah Terbaik dalam Op Selamat 15 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 bagi seluruh Malaysia, baru-baru ini.

"Prestasi dipamerkan IPD terbabit telah beri harapan pada kita, untuk memastikan daerah lain juga mampu jadi yang terbaik dalam mengendalikan Op Selamat pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seremban, di sini, semalam.

Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Seremban yang baharu bagi menggantikan Asisten Komisioner Thiew Hock Poh dalam majlis berkenaan.

Sementara itu, Mohd Said berkata, anggota polis perlu berusaha untuk meraih keyakinan rakyat terhadap institusi kepolisan.

Menurutnya, banyak kejayaan telah dilakar pihak polis namun persepsi masyarakat didapati masih kurang dan tidak berapa baik.

"Kita akan cuba dapatkan keyakinan itu semula dengan cara memperbaiki mutu perkhidmatan.

"Selain itu, beri komitmen sebaik mungkin dan cari jalan penyelesaian bagi menangani masalah tersebut," katanya.

Untuk rekod, IPD Seremban dinobatkan sebagai Daerah Terbaik pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 yang berlangsung di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu.