DEMI NYAWA SI PENYU KARAH...

Selasa, 16 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Foto: Ihsan Bomba
Video: Ihsan Bomba

PORT DICKSON: Pihak bomba berhempas-pulas selama 45 minit, demi menyelamatkan nyawa seekor penyu karah yang tersangkut pada penghadang sampah di Stesen Janakuasa Tuanku Ja'afar, di sini.

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 11.46 pagi tadi, usaha membebaskan penyu berkenaan dibuat dengan cukup berhati-hati bagi mengelakkan haiwan itu mengalami sebarang kecederaan.

 

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Hairul Izam Mazelan, empat orang diperlukan untuk mengangkat penyu tersebut yang dianggarkan seberat 150 kilogram.

"Proses menaikkan penyu dari penghadang sampah ke atas jeti saja, ambil masa lebih kurang 30 minit. Sebab jarak dari bawah ke atas, anggarannya lebih kurang lapan kaki.

"Bagaimanapun operasi menyelamat berjalan lancar memandangkan penyu terbabit hanya tersepit pada jejari penghadang, selain tak banyak tindak balas daripada haiwan itu.

"Penyu berkenaan kemudian dilepaskan ke laut dalam, dengan keadaan selamat," katanya ketika dihubungi NS Daily, di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi menyelamat itu melibatkan seorang Pegawai Bomba Kanan bersama tiga anggota bomba, termasuk tiga anggota bomba bantuan.

"Kita guna tali, abah-abah dan plastik pasir untuk selamatkan penyu terbabit. Operasi selesai sekitar jam 1.33 petang," katanya.