TIADA UNSUR JENAYAH TERHADAP MAYAT NORA

Khamis, 15 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/2

SEREMBAN: Hasil bedah siasat ke atas mayat Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak 4 Ogos lalu dan dijumpai mati kelmarin, tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Dato' Mohamad Mat Yusop berkata, sebaliknya hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kebocoran usus akibat kebuluran serta mengalami tekanan dalam tempoh yang panjang.

"(Pakar) pihak patologi memaklumkan mayat itu adalah Nora dan (dijangka) telah meninggal dalam tempoh dua hingga tiga hari (sebelum ditemui).

"Tak ada kesan atau tanda dia (mendiang Nora) dirogol, hymen still intact (selaput dara masih dalam keadaan baik).
 

"Terdapat sedikit kesan calar kecil pada kaki, tapi itu tak menjurus ke arah yang boleh menyebabkan kematian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun, menurut Mohamad, beberapa sampel daripada tubuh mendiang akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa bagi mengetahui lebih lanjut tentang hasil autopsi berkenaan.