KEHILANGAN NORA ANNE QUOIRIN AKHIRNYA TERJAWAB

Rabu, 14 Ogos 2019

Oleh: Nisa Ardila

1/2

SEREMBAN: Misteri kehilangan gadis warga Ireland berusia 15 tahun, Nora Anne Quoirin sejak 4 Ogos lalu, kini terjawab ekoran penemuan mayat perempuan berhampiran resort The Dusun Pantai Hill, di sini, yang disahkan sebagai gadis itu.

Pengesahan dan pengecaman terhadap mayat tersebut dibuat oleh keluarganya di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) malam tadi, selepas mayat gadis itu dibawa ke hospital untuk tujuan bedah siasat.

Nora sebelum ini tiba bersama keluarganya di resort berkenaan pada 3 Ogos lalu untuk bercuti selama dua minggu, bagaimanapun didapati hilang pada keesokannya lebih kurang jam 8 pagi.

Berdasarkan pengesahan awal oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Dato' Mazlan Mansor, mayat itu ditemui sepasukan pendaki sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat sekitar jam 1.57 petang berhampiran anak sungai, kira-kira 2.5 kilometer dari resort remaja itu menginap.

"Mayat dibawa keluar dari lokasi menggunakan helikopter dan seterusnya diterbangkan ke HTJS," katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai, di sini, petang tadi.

Diminta mengulas perincian berhubung keadaan mayat terbabit, beliau mengesahkan ia ditemui dalam keadaan tidak berpakaian, namun beliau enggan mengulas sama ada terdapat sebarang kecederaan pada tubuh mayat itu.

Dalam pada itu, Mazlan menegaskan bahawa lokasi penemuan mayat merupakan sebahagian daripada kawasan mencari dan menyelamat, di mana pihaknya telah pun membuat pencarian di situ. 

"Kita dah cover kawasan itu (dalam radius seluas) 2 kilometer; 4 kilometer dan 6 kilometer. Kemudian berpatah balik (secara) on dan off covered the area, dan selebihnya perlu menunggu laporan bedah siasat," katanya. 

Mazlan juga menegaskan bahawa kes masih disiasat di bawah kejadian orang hilang dan bukannya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Dato' Mohamad Mat Yusop," katanya. 

Sementara itu ketika di HTJS, Ketua Polis Negeri Sembilan mengesahkan bahawa mayat perempuan berkulit cerah yang ditemui petang tadi adalah Nora melalui hasil pengecaman keluarga mangsa.

"Keluarga dah sahkan, mayat itu merupakan Nora Anne Quoirin yang hilang sejak 4 Ogos. Bagaimanapun proses bedah siasat akan dijalankan jam 10 pagi esok, oleh Senior Patologi dari Hospital Kuala Lumpur. 

"Selepas dapat hasil bedah siasat, baru kita buat siasatan lanjut," katanya. 

Dalam pada itu, kata Mohamad, operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian tidak berhenti sehingga keputusan bedah siasat diperoleh. 

"Kita standby untuk jalankan gerakan selanjutnya," katanya.