SAMBUTAN MAULIDUR RASUL ERATKAN SILATURAHIM MASYARAKAT

Selasa, 12 November 2019

Oleh: Masitah Mat Zin

1/3

SEREMBAN: Bersempena Sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Kampung Siliau Baru mengadakan perarakan Maulidur Rasul di perkarangan Surau As-Syaqirin, Kampung Siliau Hilir, di sini, baru-baru ini.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Haji Mohd Yusof Ahmad berkata sambutan Maulidur Rasul merupakan amalan yang diterima sebagai salah satu usaha untuk mendidik dan mengingati Rasulullah SAW dan ajarannya.

“Kita harus menjaga perpaduan dan ketepikan perbezaan demi mengelakkan konflik antara satu sama lain.

Marilah kita bersama-sama bergerak ke hadapan sebagai satu entiti yang kukuh, bersepadu tanpa menghiraukan sebarang gangguan di sekeliling kita selagi kita berpegang teguh dengan berpedomankan Al-Quran dan Sunah,” ujarnya dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Maulidur Rasul (Sepakat Komuniti), KHM Kampong Siliau Baru, di sini.

Manakala Pengerusi KHM Kampung Siliau Baru, Abd Ghani Zainuddin, berkata program tersebut dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung di samping memahami dan meneladani Rasulullah SAW yang merupakan suatu kewajipan bagi semua umat Islam.

“Program pada hari ini dapat diterjemahkan  dengan sempurna dengan kerjasama yang baik daripada semua pihak dan diserikan lagi dengan kehadiran Mufti Negeri Sembilan yang sudi menyertai program ini,” katanya.

Di samping itu, antara pengisian program ialah slot Pencarian Khatib Membaca Khutbah Jumaat dan Ceramah Maulidur Rasul oleh Ustaz Abdul Syukur Mustafa.

Majlis yang bermula seawal 7.30 pagi itu disambut sederhana tetapi meriah dengan penyertaan lebih daripada 500 peserta dari pelbagai agensi kerajaan, swasta dan masyarakat setempat yang berarak sambil berselawat sejauh kira-kira 1.5 kilometer. - Malaysia Aktif