TIDAK MENGAKU MENYAMAR SEBAGAI PETUGAS MPS

Khamis, 10 Oktober 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Jurufoto: Nurul Haryani Hasrol

1/3

SEREMBAN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, di sini, hari ini, atas tuduhan menyamar sebagai petugas Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Bagaimanapun Mohd Firdaus Zahari, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Majistret, V Vanita.

Tertuduh didakwa memperkenalkan diri selaku Pegawai Penguat kuasa Pelesenan MPS kepada mangsa, Mohd Najib Md Nor, 32.

Lokasi penyamaran pula didakwa berlaku di MPS, Forest Height, di sini, pada 10 Mei lalu sekitar jam 10 pagi. 

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, M Jiwan Kaur menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada tertuduh.

Faktor amaun itu dipilih berdasarkan tahap keseriusan perbuatan berkenaan yang turut menarik perhatian pihak media.

Namun peguam bela tertuduh, A Partheeban memohon amaun jaminan yang rendah dan munasabah atas beberapa faktor.

Antaranya mengambil kira situasi kewangan bapa tertuduh sebagai penjamin, yang hanya bekerja sebagai pemandu lori.

Mahkamah kemudian menetapkan amaun jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan pada 24 Oktober ini untuk serahan dokumen.

Sebelum itu, Mohd Firdaus telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, atas dakwaan menyalahgunakan harta berupa wang tunai sebanyak RM3,320 milik mangsa yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di mesin deposit tunai (CDM) Bank Simpanan Nasional cawangan Senawang, di sini, pada tarikh yang sama sekitar jam 4.30 petang.

Sekiranya terbukti bersalah di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, tertuduh bakal berdepan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, dengan sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur'Atiqah Sapari menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada tertuduh.

Partheeban yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon amaun jaminan minimum atas faktor serupa.

Hakim, Diana Md Razali kemudian menetapkan amaun jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes pada 8 November depan.