PASUKAN MALBATT 850-6 TERIMA ANUGERAH PNBB

Ahad, 10 November 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Foto: Facebook MyJointForce

 

1/4

PORT DICKSON: Seramai 850 pegawai dan anggota pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) 850-6 menerima Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini.

Kumpulan diketuai Kolonel Azhan Md Othman itu terdiri daripada 80 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk tiga pegawai dan 27 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang pegawai awam kewangan daripada Kementerian Pertahanan Malaysia.

Pasukan MALBATT 850-6 baru sahaja menamatkan misi Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan.
 

Penganugerahan pingat itu bagi mengiktiraf kejayaan pasukan tersebut menjalankan misi UNIFIL di Lubnan selama setahun mulai 24 September tahun lepas.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato' Kamalruzaman Mohd Othman (TUDM) yang mewakili Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Penyampaian anugerah diadakan sempena perbarisan pembubaran MALBATT 850-6 dan upacara menanggalkan beret biru PBB di Padang Kawad PUSASDA, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato' Suhaimi Mohd Zuki; wakil panglima perkhidmatan dan pegawai kanan ATM.

MALBBAT 850-6 telah diaturgerak kembali ke tanah air secara empat peringkat bermula pada 2 Oktober lalu dan berakhir pada 30 Oktober.

Misi seterusnya telah diambil alih oleh MALBATT 850-7 mulai 17 Oktober lalu, juga selama setahun.