OPERASI MENCARI GUNA TEKNOLOGI PENGESAN HABA DARI UDARA

Jumaat, 9 Ogos 2019

Oleh: Daniel HA
 

1/3

SEREMBAN: Operasi mencari remaja warga Ireland berusia 15 tahun iaitu Nora Anne Quoirin yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu, semakin giat dijalankan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Dato' Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya turut menggunakan khidmat Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi membantu operasi pencarian.

Menurutnya, pasukan itu menggunakan peralatan Wescam Air Surveillance dengan kebolehan mengesan melalui pengimejan haba objek atau manusia dari ketinggian 1,500 kaki pada waktu siang dan malam.

"Pasukan Gerakan Udara telah mengerahkan empat pegawai dan anggota dalam operasi pencarian ini, dengan menggunakan pesawat jenis AS 355N milik PDRM.

"Keseluruhan anggota pasukan penyelamat (terlibat) bagi hari ini seramai 267 individu, terdiri daripada pegawai dan anggota dari PDRM dan lain-lain agensi," katanya dalam satu kenyataan kepada media, di sini.

Menurut beliau, pihaknya sangat berharap dapat menjumpai mangsa atau sekurang-kurangnya petunjuk positif bagi membantu dalam penemuan mangsa.

Nora yang mempunyai masalah pembelajaran iaitu lembam, didapati hilang pada Ahad lalu ketika bercuti bersama keluarganya di The Dusun Pantai Hill, di sini.