SEREMBAN BERPOTENSI JADI LOKASI MEMERHATI BURUNG

Ahad, 8 September 2019

Oleh: Nisa Ardila

1/5

SEREMBAN: Daerah ini mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai lokasi memerhati burung yang berprestij, berikutan keberadaan pelbagai spesies haiwan berkenaan.

Ketua Program Seremban NS Volunteer Bird Watching and Photography 2019, Encik Sulaiman Salikan berkata, sebanyak 110 spesies burung telah berjaya direkodkan setakat ini.

Menurutnya, lokasi yang terlibat bagi aktiviti berkenaan adalah di Taman Tasik Seremban; Bukit Putus; Gunung Telapak Buruk dan Gunung Berembun.

"Antaranya terdapat beberapa spesies burung sedang terancam seperti Helmeted Hornbill yang giat disasarkan pemburu haram di sekitar Asia Tenggara.

"Penemuan ini menunjukkan bahawa Seremban berpotensi dibangunkan sebagai lokasi memerhati burung.

"Ini akan membawa kepada penambahan pelancong, terutamanya pemerhati burung dari dalam dan luar negara," katanya ketika ditemui selepas program di Kg Jkin Extreme Park, Jalan Bukit Putus Lama, di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, seramai 30 pakar pemerhati burung menyertai program tersebut yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan; Jabatan Perhilitan; Nature Educational Social Training (NEST); Wild Bird Club; Bird Nature Club; Sony Pictures dan Kampung Jkin Extreme Park.

Antara matlamat program itu untuk memberi kesedaran terutama generasi muda mengenai pemuliharaan hidupan liar dan burung pemangsa, selain memahami kepentingan menjaga alam sekitar.

Sementara itu, Ahli Majlis MPS, Encik Zulkarnain Mat Zaki berkata, pihaknya memandang serius usaha membangunkan segmen memerhati burung di daerah ini.

“Kita lihat ada potensi besar dalam pembangunan segmen pelancongan ini, berikutan mampu wujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“MPS akan teruskan kerjasama yang erat dengan agensi lain, bagi membangunkan fasiliti atau menyediakan habitat bersesuaian kepada burung-burung tersebut," katanya.