MINUMAN KERAS BERNILAI RM11.4 JUTA DISITA

Jumaat, 08 November 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
 

1/6

SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengesan dan menyita 1,968,654 liter minuman keras dengan anggaran nilai berjumlah RM11.4 juta.

Ketua Pengarah JKDM, Dato' Seri Paddy Abd Halim berkata, sitaan tersebut melibatkan nilai cukai sebanyak RM54.96 juta.

Menurutnya, kesemua minuman keras berkenaan telah dikesan dan dikenal pasti dalam dua buah gudang di Pelabuhan Klang menerusi Ops Jaring yang dilaksanakan mulai April lalu.

Sekali gus katanya, tindakan Unit Siasatan Dalaman JKDM bersama Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) telah melumpuhkan aktiviti penyeludupan rentas sempadan yang menggunakan pelabuhan itu.  

"Hasil risikan dan analisa melalui 'intelligence driven' ke atas dokumen-dokumen pengimportan, Unit Siasatan Dalaman dapat mengesan modus operandi penyeludupan terbabit.

"Beberapa syarikat yang juga merupakan pemilik Lesen Import telah digunakan untuk melakukan aktiviti penyeludupan di pelabuhan.

"(Caranya) dengan menjadikan gudang di situ sebagai stor penyimpanan sementara atau transit, sebelum diseludup masuk ke dalam negara," katanya.

Sehubungan itu katanya, beberapa individu dan syarikat yang disyaki terlibat dalam penyeludupan minuman keras berkenaan telah disiasat.

"Siasatan yang dijalankan turut menjurus kepada beberapa anggota jabatan (JKDM) yang disyaki terlibat dengan modus operandi tersebut," katanya.

Pada masa sama, JKDM juga merampas 10.32 juta batang rokok yang dianggarkan bernilai RM1.01 juta dengan nilai cukai sebanyak RM6.91 juta.

Menurut Paddy, kejayaan itu dilakar Unit Siasatan Dalaman JKDM menerusi penahanan sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Klang pada 7 November lalu.

"Hasil pemeriksaan Unit Siasatan Dalaman bersama pasukan operasi JKDM Zon Tengah Unit I (WPKL) telah menjumpai rokok jenama U2 dan Canyon yang disyaki barang larangan.

"Bagaimanapun, pemeriksaan terhadap Borang Kastam 1 (Import) pula menunjukkan dagangan dalam kontena itu diikrar sebagai 'Ladies Skirt, Women Dress, Vest'.

"Justeru, dua lelaki berusia lingkungan 30 dan 40 tahun ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki menguruskan pengikraran dagangan dalam kontena itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelupusan Barangan Lucuthak Kastam di sebuah tapak pelupusan di Jalan Mambau-Kuala Sawah, di sini, hari ini.