PENGASAS DIGITAL ANIMASI MALAYSIA MENINGGAL DUNIA

Ahad, 8 Disember 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/3

KUALA LUMPUR: Pengasas Animasi Digital Malaysia, Kamaruddin Ismail, 63, atau nama penanya Kamn Ismail, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kira-kira jam 4.15 petang tadi.

Menurut kenyataan laman media sosial Facebook Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS), Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung setelah hampir dua bulan dirawat di hospital berkenaan sebelum ini.

"Sepanjang penglibatan dalam (bidang) animasi, Allahyarham merupakan tokoh pelopor penggunaan teknologi komputer dan aplikasi digital pada (tahun) 90-an melalui penerbitan animasi 'Usop Sontorian'.

"Pada 1997, beliau mencipta dan menerbitkan animasi Keluang Man melalui kaedah hibrid animasi 2D dan 3D.

"Hasil karya beliau pernah dinobatkan sebagai Filem Animasi Terbaik FFM 2004 dan 2005 menerusi 'Kumang Legenda Sarawak' dan 'Legenda Kinabalu', " katanya.

Mengulas lanjut menerusi kenyataan itu, Rumah Kartun dan Komik Malaysia bersama ANIMAS menobatkan beliau sebagai Tokoh Penglipurlara Animasi Malaysia pada malam anugerah kartunis dan Hari Kartunis 2018 di Muzium Negara, pada 1 April tahun lepas.

"ANIMAS berdukacita dan merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan handai taulan Allahyarham," katanya.