ELAK CETUS SEBARANG SPEKULASI KES MANGSA HILANG

Rabu, 7 Ogos 2019

Oleh: Daniel HA
 

1/3

SEREMBAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta kerjasama orang ramai khususnya netizen supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kehilangan remaja warga Ireland sejak Ahad lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Dato' Salehhudin Abd Rahman berkata, orang ramai diminta agar tidak mengeluarkan pelbagai kenyataan hingga boleh mengganggu proses pencarian dan siasatan.

Menurutnya dalam soal ini, seeloknya netizen bersabar sehingga mangsa berjaya ditemui memandangkan sebarang kenyataan atau komen daripada orang awam sama sekali tidak membantu keadaan. 

"Kehilangan ini disiasat sebagai kes orang hilang dan bukan ada unsur jenayah, (berdasarkan) setakat tiga hari pencarian. 

"Namun dari segi siasatan, kita (buat) menyeluruh termasuk elemen jenayah. Walaupun (hasil) siasatan kita di tempat kejadian tak nampak (seperti) berlakunya jenayah.

"Tapi pegawai penyiasat telah diarahkan untuk melihat (daripada) pelbagai sudut," katanya dalam satu kenyataan, di sini. 

Salehhudin berkata, skop pencarian telah diperluaskan dan usaha mencari turut merangkumi pelbagai aspek. 

Menurut beliau, seramai 178 anggota dari pelbagai agensi berserta dengan sebuah helikopter kini terlibat dalam proses pencarian. 

Beliau ditemui di Balai Polis Pantai, di sini, selepas membuat tinjauan di lokasi remaja berkenaan dilaporkan hilang.

Kehilangan Nora Anne Quoirin, 15, disedari oleh ahli keluarganya pada Ahad lalu sekitar jam 8 pagi.

Remaja terbabit yang mengalami masalah pembelajaran iaitu lembam, tiba di The Dusun Pantai Hill, di sini, pada Sabtu lalu kerana mengikut keluarganya bercuti.