PENCARIAN REMAJA WARGA IRELAND GIAT DIJALANKAN

Isnin, 5 Ogos 2019

Oleh: Daniel HA

1/3

SEREMBAN: Misi mencari seorang remaja perempuan warga Ireland berusia 15 tahun yang dipercayai hilang di sebuah resort di Kampung Pantai, di sini, sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat. 

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Nor Marzukee Besar dalam satu kenyataan berkata, remaja dikenali sebagai Nora Anne Quoirin itu bermalam di resort berkenaan bersama keluarganya.

Tinjauan NS Daily di lokasi pencarian malam tadi turut melihat kehadiran pasukan bomba serta polis yang melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9), sedang meneruskan usaha mencari dan penyelamat.
 

Turut hadir di lokasi pencarian adalah Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman yang mengikuti sendiri perjalanan operasi dan bertemu dengan keluarga mangsa.

Kehilangan remaja terbabit disedari oleh ahli keluarga pada jam 8 pagi semalam, yang seterusnya memaklumkan kepada pihak pengurusan.

Menurut ahli keluarganya, remaja berkenaan mempunyai masalah pembelajaran iaitu lembam.

Difahamkan insiden menimpa remaja tersebut telah tular di laman sosial Facebook hingga mendapat liputan BBC News.