SUAMI ISTERI DITUDUH SELEWENG WANG TEMPAHAN KENDERAAN

Khamis, 04 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Foto: Nisa Ardila

SEREMBAN: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menyalahgunakan harta membabitkan penyelewengan wang tempahan pembelian kenderaan pelanggan sejak tahun lepas.

Tertuduh, Shah Riman Rajah Abdullah, 57, dan Norul Hanum Mohamed Hussain Albakri, 42, yang merupakan pengarah bagi sebuah syarikat berstatus sendirian berhad itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan.

Kedua-duanya didakwa berbuat demikian terhadap tiga individu pada 11 Disember 2018; 22 Februari 2019; 27 Februari 2019 dan 8 Mei 2019 bertempat di Rahang Square; Pusat Perniagaan Senawang Jaya dan Flat Sri Mawar, di sini.

Amaun wang yang terlibat semasa insiden di Rahang Square sebanyak RM500; di Pusat Perniagaan Senawang Jaya sebanyak RM1,500; di Flat Sri Mawar sebanyak RM500 dan sekali lagi di Pusat Perniagaan Senawang Jaya sebanyak RM5,000.

Sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman berupa penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, termasuk sebat serta denda.

Peguam, K Vijayasundra Thevar kemudian mengemukakan rayuan kepada mahkamah agar amaun ikat jamin dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung anak yang masih kecil, selain Shah Riman mempunyai masalah jantung dan diabetes.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM11,000 dengan syarat tambahan, di mana kedua-duanya dikehendaki melapor diri ke Balai Polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.

Kes yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azri di hadapan Hakim, Muhammad Zali Abdul Kudos ini akan disebut semula pada 5 Ogos depan.