BASIKAL TUA GAMIT NOSTALGIA SEBELUM MERDEKA

Isnin, 2 September 2019

Oleh: Nisa Ardila

1/4

KUALA PILAH: Kelibat sekumpulan individu mengayuh basikal tua dengan busana klasik di sekitar pekan Kuala Pilah, telah mencuri tumpuan pengguna jalan raya, baru-baru ini.

Lebih menarik apabila Pegawai Daerah Kuala Pilah, Encik Syahrul Nizam Saleh tampak turut berkayuh bersama 49 peserta lain dalam aktiviti berkenaan.

Demikian panorama program 'Moh Waghih Ngayuh' anjuran Persatuan Basikal Tua sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat Daerah Kuala Pilah.

Presidennya, Encik Amran Yahya berkata, aktiviti sebegitu mampu mengimbau semula nostalgia lama kerana basikal merupakan kenderaan yang diguna sejak sebelum merdeka.

“Kalau dulu, mereka yang ada basikal tua ini dianggap golongan berada. Tapi bagi kami sebagai generasi selepas merdeka, memiliki basikal tua ini adalah satu kepuasan.

“Berkayuh sejauh empat kilometer melalui pekan Kuala Pilah dengan memakai busana klasik merupakan sesuatu yang cukup menghiburkan.

“Dalam kayuhan ini, peserta dibawa melalui pekan lama Kuala Pilah. Lebih meriah apabila murid-murid menanti kehadiran kami di depan sekolah dengan kibaran Jalur Gemilang," katanya ketika ditemui NS Daily, di sini.

Pada masa sama, kata Amran, matlamat mereka adalah untuk mengeratkan lagi silaturahim antara ahli kelab, sekali gus menggamit nostalgia orang ramai terhadap suasana negara sebelum merdeka.

Sementara itu, Syahrul Nizam berkata, program kayuhan itu turut disertai konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

"Lebih kurang 170 peserta daripada 26 agensi kerajaan peringkat daerah, yang melibatkan 33 kenderaan menyertai jelajah ke seluruh daerah Kuala Pilah," katanya.

Pelepasan konvoi telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, YB Tuan Nazaruddin Sabtu.