STOR PENGUMPULAN SISA BUANGAN BAHAN KIMIA TERBAKAR

Rabu, 02 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Foto: Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

1/3

SEREMBAN: Sebuah stor pengumpulan sisa buangan bahan kimia terjadual di Pusat Kualiti Alam Sdn Bhd, Bandar Sri Sendayan terbakar tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1.02 tengah hari.

Menurutnya, stor berkeluasan 120 x 400 kaki persegi dipercayai membabitkan cecair dan bahan mudah terbakar itu musnah hampir 80 peratus dalam insiden berkenaan.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan. Kerja 'overhaul' sedang dijalankan bagi memastikan tiada lagi penyebab untuk api merebak," katanya ketika dihubungi NS Daily, di sini.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh lebih kurang 30 minit iaitu sekitar jam 3.21 petang.

"Seramai dua Pegawai Bomba Kanan dan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 bergegas ke tempat kejadian.

"Kita turut dibantu oleh Balai Bomba dan Penyelamat Seremban; Port Dickson dan Nilai. Bagaimanapun tiada mangsa terlibat dalam kebakaran ini," katanya.