LELAKI DICARI UNTUK BANTU SIASATAN POLIS

Rabu, 02 Oktober 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Foto: Ihsan PDRM

1/1

SEREMBAN: Seorang lelaki diminta tampil bagi membantu siasatan membabitkan penipuan untuk mendapatkan pingat dan darjah kebesaran daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab Ghani berkata, lelaki itu dikenali sebagai Tuan Mochtar Tuan Abdul Malek yang beralamat di Medan Tok Sira, Kuantan, Pahang.

"Seorang ahli perniagaan berusia 39 tahun, telah berjumpa dengan suspek di Kuala Lumpur bagi urusan perniagaan pada 27 September 2017.



 

"Setelah beberapa kali bertemu, dia ditawarkan untuk mendapatkan pingat dan darjah kebesaran daripada TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka yang akan diuruskan sepenuhnya oleh Tuan Mochtar.

"Ahli perniagaan itu berminat dan bersetuju dengan tawaran tersebut. Dia kemudian diminta membuat beberapa transaksi pembayaran berjumlah RM650,000 bagi tujuan berkenaan," katanya.

Namun sehingga laporan polis dibuat, kata Aibee, ahli perniagaan terbabit tidak menerima sebarang undangan atau tawaran daripada mana-mana pihak bagi tujuan pengurniaan pingat dan darjah kebesaran.

"Justeru, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki ini boleh menyalurkannya kepada pihak polis.

"Sila berhubung dengan Inspektor Mohd Ramdzan A Sukor di talian 019-9329643 atau 06-7682222. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan kepada media, di sini, hari ini.