IPD JEMPOL REKOD KUTIPAN BAYARAN SAMAN BERJUMLAH RM473,760

Ahad, 01 September 2019

Oleh: Nisa Ardila

1/5

JEMPOL: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol merekodkan jumlah kutipan bayaran sebanyak RM473,760 membabitkan 3,944 saman bagi pelbagai kesalahan trafik.

Amaun tersebut diperoleh menerusi Hari Bertemu Pelanggan bersempena Hari Kebangsaan Ke-62 yang diadakan di pasar raya Tesco, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, kebanyakan saman berkenaan sekitar tahun 2003 hingga 2019.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,906 merupakan saman perangkap laju manakala bakinya pula lain-lain saman.



 

"Pada program ini, pengurangan kadar bayaran saman sebanyak 50 peratus ditawarkan kecuali melibatkan saman kemalangan dan berstatus NC (non compoundable).

"Saman berstatus waran tahun semasa; masih dalam perbicaraan; Op Selamat Tahun semasa; saman berstatus mahkamah dan saman berkaitan lori juga tak ditawarkan pengurangan.

"Bagaimanapun, saman yang mendapat pengurangan pula tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas selesai program.

Mengulas lanjut program itu, Muhd Nurhishamuddin berkata, tujuannya sebagai salah satu cara untuk mendekati komuniti setempat.

Selain itu kata beliau, bagi mendapatkan maklum balas masyarakat mengenai tahap rasa selamat mereka, termasuk persepsi terhadap mutu perkhidmatan polis.

"Dalam pada itu, dapat memupuk persefahaman antara PDRM dan lain-lain agensi serta komuniti yang hadir sebagai sahabat pencegahan jenayah.

"Sekali gus menyemai kesedaran pencegahan jenayah melalui pengedaran pamplet, di samping memberi penerangan dan berkongsi pengetahuan mengenai tips pencegahan jenayah," katanya.

Selain kutipan bayaran saman, turut diadakan acara senamrobik; mewarna; kempen derma darah dan pameran daripada agensi kerajaan pada program tersebut.