BERMALAM DI MUZIUM SEMPENA HARI KEBANGSAAN

Ahad, 01 September 2019

Oleh: Nisa Ardila

1/6

JEMPOL: Seramai 95 pelajar dari lapan sekolah dan institusi pendidikan sekitar Negeri Sembilan berpeluang bermalam di muzium Teratak Za’ba, Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, di sini bersempena sambutan Hari Kebangsaan, malam kelmarin.

Program yang dijalankan secara serentak di setiap muzium peringkat persekutuan dan negeri itu bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan, serta menanamkan rasa cinta dan taat setia dalam diri pelajar terhadap negara.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, program dianjurkan bersama Jabatan Muzium Malaysia itu merupakan program tahunan yang diadakan setiap kali tibanya sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
 

"Kita beri peluang kepada pelajar untuk mendekatkan diri dan mengetahui fungsi utama muzium sebagai gedung ilmu pengetahuan, menerusi pameran dan artifak yang berkaitan dengan sejarah, adat dan budaya di negeri ini.

"Secara tak langsung jadi satu ilmu pengetahuan yang baru kepada para pelajar, di samping pembelajaran secara formal yang diikuti oleh mereka pada setiap hari di sekolah.

"Kita juga percaya, usaha ini dapat tarik minat pelajar untuk sentiasa datang ke muzium dan seterusnya menjadikan bidang pemuziuman sebagai kerjaya pada masa depan," katanya selepas selesai program.

Shamsuddin berkata, pendekatan sebegitu diyakini mampu melahirkan mereka yang pakar dalam bidang adat, budaya dan sejarah terutamanya berkaitan dengan negeri ini.

"Suka saya nyatakan di sini bahawa program anjuran bersama pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan dengan Jabatan Muzium Malaysia ini dah mula sejak 2017 lagi. Pada 2017 dan 2018 diadakan di Muzium Negeri, Seremban.

"Pemilihan Teratak Za'ba sebagai lokasi 'Program Bermalam Di Muzium' tahun ini bertujuan mengambil semangat perjuangan Allahyarham Tan Sri Zainal Bin Ahmad atau Pendeta Za’ba dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu.

"Dalam pada itu, dapat mempromosikan Teratak Za'ba kepada pelajar sebagai produk pelancongan yang berunsurkan keilmuan sejajar dengan ketokohan dan kecendekiawanan dimiliki anak kelahiran Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir ini," katanya.

Antara sekolah yang menyertai program itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad; Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kikir; Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Besar; Kolej Vokasional Rembau; Kolej Vokasional Juasseh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Gemas.