IKTIBAR CERITERA JAGOAN TINJU DUNIA

Isnin, 28 September 2020

Oleh:

Muhammad Azli Shukri

Joe Rogan bertanya, "Apakah itu disiplin?"

Mike Tyson menjawab, "Lakukan apa-apa yang anda tidak suka lakukan, tetapi ingat, lakukannya seperti anda sangat menyukainya."

Mike Tyson, juara tinju kelas Heavyweight termuda yang berbakat, dibesarkan dalam undang-undang rimba di lorong Brooklyn. Tiada belas ihsan, hidup dalam dunia keras, penuh penindasan, berdiri di atas kaki sendiri, berjuang bersendirian, tiada yang peduli, tiada yang sudi membantu, hidup miskin dan sentiasa dibenci. Tetapi dia lelaki yang paling ditakuti di atas gelanggang. Memegang rekod 50 - 6 termasuk 44 KO. Hebat bukan. 

Dia hebat kerana berdisiplin, sama dalam bisnes. Anda berdisiplin, bermakna anda membina rutin hebat yang konsisten. Rutin yang konsisten mencipta kejayaan. Berdisiplin menjadikan anda tidak hilang fokus. Lagi kuat daya fokus anda, lagi tinggi disiplin anda. Peluang untuk anda menang dalam persaingan semakin cerah. 

Tetapi, segala fokus dan disiplin yang tinggi boleh dihancurkan dalam sekelip mata. Hanya 37 saat pada pusingan ke-11, Tyson ditumbuk dan diasak sehingga ke tepi gelanggang oleh Evander Holyfield. Pengadil melihat Tyson sudah kehilangan respon dan menghentikan pertarungan. Tyson sang jaguh tidak terkalah, akhirnya tersungkur. Semuanya kerana EGO. Sejak awal lagi dia memandang rendah terhadap Holyfield. Dia tidak ditewaskan oleh Holyfield, dia ditewaskan oleh egonya sendiri. Memandang rendah kepada pesaing adalah permulaan kehancuran dalam apa juga bisnes. 

Holyfield tidak bercakap besar. Merendah diri dan tidak bercakap banyak. Tyson terlalu yakin menang dan memandang rendah keupayaan pencabarnya. Pemerhati luar menjangkakan Holyfield akan tewas mudah dan meletakkan nisbah 25 : 1. Dalam bisnes, biarkan sesiapa sahaja memandang rendah keupayaan kita kerana itulah yang akan menjadi kekuatan luar biasa pasukan bisnes kita. 

Sehingga pusingan ke-10, Holyfield masih belum mampu dijatuhkan. Tyson hilang keseimbangan. Hilang keyakinan. Egonya yang besar telah memakan seluruh kekuatannya. Masuk pusingan ke-11, Tyson akhirnya kecundang. Orang bisnes kena sentiasa tenang. Tidak gopoh.  Sentiasa kawal emosi seperti Holyfield. 

Namun, sifat orang berniaga tidak pernah rasa puas. Sekali lagi Tyson mencabar Holyfield. Dia mahu menebus maruahnya kembali. Malangnya terdapat orang bisnes yang tidak sabar untuk berjaya dan menerima hakikat kelemahannya, lantas dia bertindak di luar kewarasan untuk menumpaskan para pesaingnya. Maka lahirlah DENDAM. Ketika pusingan ketiga berbaki 40 saat, Tyson menggigit telinga kanan Holyfield setelah hook tangan kirinya gagal mengenai sasaran. Telinga Holyfield terkoyak dan ada cebisan daging yang jatuh di atas gelanggang. 

Perlawanan dibatalkan dan Holyfield diisytiharkan pemenang. Tyson dalam perlawanan kali ini telah ditewaskan oleh perasaan dendamnya, bukan lagi ego. Ego hanya melahirkan dendam. Dua penyakit yang merosakkan perniagaan. 

Tyson didenda USD3 juta. Lesen tinju profesionalnya digantung. Dua kekalahan Tyson di tangan Holyfield menandakan berakhirnya kegemilangan Iron Mike. Sejak itu Tyson semakin hilang bisanya. Tewas di tangan beberapa petinju lain seperti Lennox Lewis; Danny Williams dan Kevin McBride. Ego dan dendam hanya memusnahkan hidup dan kerjaya kita. 

Permulaan membina bisnes, kita memang perlu jadi seperti Mike Tyson. Berani, berdikari, yakin diri, tidak bergantung dengan sesiapa, hidup dalam ujian. Tetapi, saat kita berada di puncak , kita perlu jadi humble seperti Holyfield. Tenang, sabar dan tiada dendam. 
 

Namun, semua tidak berakhir di situ. Tahun 2009, Tyson dan Holyfield dipertemukan dalam rancangan Oprah Winfrey. Tyson membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Holyfield di kaca televisyen. Lantas Holyfield menjawab, “Perkara terpenting dalam hidup ini adalah memaafkan dan saya memaafkan kamu Mike.” Holyfield memaafkan Tyson, meskipun telinganya telah dicacatkan. Sifat memaafkan orang lain mengukuhkan jenama perniagaan kita.

Dalam bisnes, persaingan bukanlah suatu permusuhan. Bersikap profesional. Ia adalah proses untuk mencipta inovasi. Tidak perlu memakai jubah ego untuk membuktikan kehebatan bisnes. Tidak perlu berdendam dengan kekecewaan. Maafkan orang yang menganiaya dan berlapang dada dengan penyesalan orang lain. Berjuanglah seperti Mike Tyson pada permulaan kerjayanya. Dan jadilah seperti Evander Holyfield ketika bisnes berada di puncak. 
 

©Muhammad Azli Shukri, 2020

Join telegram saya di t.me/azlishukri

*Penulis merupakan Mantan Editor di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kini sebagai Editor Kanan Penerbit di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Kredit foto:
Reuters; Getty Images & The Jasmine Brand