ADAB ABAD KE-21

Ahad, 19 Oktober 2019

Oleh:

Nurul Aishah Ab Raman

“Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang. Bukan terletak pada wajah dan pakaiannya”.

Itu antara bait-bait pujangga terkenal Hamka yang menekankan peri-pentingnya nilai adab sebagai salah satu sandaran, yang wajib dipasakkan bagi membentukkan ‘kehidupan sejahtera’ dalam pembangunan sesebuah negara.

Adab, adalah istilah Bahasa Arab yang membawa maksud kebiasaan yang merujuk kepada konteks perbuatan kebaikan; kesantunan; moral; kesusilaan serta kemanusiaan.

Begitu pentingnya nilai adab ini sehingga turut digariskan sebagai prinsip terakhir dalam Rukun Negara, iaitu kesopanan dan kesusilaan.

Setiap prinsip dalam Rukun Negara ini, miliki maksud tersirat yang harus difahami dan dipraktikkan oleh setiap warganegara.

Namun, mutakhir ini kita lihat penghayatan kepada nilai murni berkenaan seolah-olah semakin terhakis dari jiwa rasa generasi muda.

Terkini, tular gelagat seorang graduan sebuah universiti tersohor negara yang melaungkan protes di atas pentas sebaik menerima skrol dalam istiadat konvokesyen yang dihadirinya.

Graduan nekad itu yang namanya kini menjadi sebutan, mempertahankan tindakannya atas dasar kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi.

Salah atau tidak tindakan itu, bukan apa yang hendak dikongsikan di sini. Biarlah mereka yang pakar dalam undang-undang menentukan.

Cuma terlintas di fikiran, adakah ini bakal menjadi satu trend atau budaya generasi muda kita yang menggunakan pentas rasmi seperti istidat konvokesyen untuk mengekspresikan jiwa rasa mereka terhadap sesuatu perkara?

Generasi muda atau kerap dirujuk sebagai millennials ada beberapa sifat yang terkait rapat dengan mereka.

Menurut Sophia Sanchez, yang perlu memahami dan menukar rentak kepada arus semasa itu adalah para pendidik itu sendiri.

Kaedah lama yang menekan dan memaksa orang muda ini untuk mengikut sistem lama, tidak lagi berkesan.

Salah satu sifat yang disebut adalah, mereka terdorong kepada nilai kepuasan segera atau instant gratification.

Pentas terbuka yang menjadi tumpuan itu telah dipilih graduan tular tersebut, bagi mencapai maksud dan tujuan beliau.

Bukan sahaja nilai kepuasan segera yang diterimanya, tetapi menjadi perhatian dan perdebatan ramai yang cakna dengan isu semasa dalam negara.

Dari satu sudut, graduan ini telah berjaya mencetuskan satu perbahasan atau civil discourse dalam ruang sfera umum atau the public sphere, juga salah satu ramuan dalam prinsip negara demokrasi.

Secara peribadi, sebagai salah seorang alumni universiti berkenaan, insiden ini mengimbaukan kembali memori saya ketika berpeluang menjejakkan kaki ke atas pentas bagi segulung ijazah dalam bidang pengajian strategik dan pertahanan beberapa tahun lalu.

Ketika itu yang paling bersorak gembira adalah arwah ibu, Allahyarhamah Rahimah Abd Rahman.

Arwah ibu merupakan penghidap strok dan punya pergerakan agak terbatas, membuatkan saya amat risau untuk dia hadir ke majlis yang akan mengambil masa lama dan tidak selesa.

Namun, manalah ada ibu bapa yang tidak mahu meraikan hari gembira anak mereka – arwah ibu tidak terkecuali walaupun bertongkat, tetap sabar menunggu sehingga usai majlis.

Kami sebagai orang biasa-biasa, tiada layanan istimewa yang diterima tetapi amat bersyukur keprihatinan pihak universiti membenarkan keluarga saya parkir di ruang berdekatan dengan dewan kerana isu kesihatan arwah ibu.

Justeru, apabila berlaku insiden yang mencemarkan perjalanan majlis rasmi seperti dilakukan graduan nekad itu, terdetik sesuatu dalam sanubari.

Adakah ibu bapanya turut berbangga dengan laungan protes “Undur VC”, sambil memegang plakad itu?

Adakah itu memori yang mahu dikenang ibu bapanya pada hari anak mereka bergelar seorang graduan?

Kesan tindakan itu seolah mencetuskan satu ‘tsunami’ dalam kalangan netizen, terutamanya yang mengecam.

Lebih serius lagi, beliau kini berdepan siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan.

Nyata kisah ini patut dijadikan pengajaran, kebebasan bersuara itu bukan pertikaian tetapi yang dikesalkan adalah pilihan  platform graduan terbabit yang telah mencetuskan polemik dan provokasi.

Memandangkan kebanyakan universiti awam kini dalam ‘musim konvo’ mereka, adakah masyarakat akan digemparkan lagi dengan ‘tindakan’ kreatif dan luar dugaan para graduan atas nama demokrasi?

Daripada sekonyong-konyongnya perbuatan seperti berswafoto di atas pentas, menerima skrol dengan membuka langkah tarian atau apa sahajalah gerak-geri yang mampu mengundang perhatian, luar daripada kebiasaan yang boleh ditafsirkan sebagai melanggar protokol.

Harapnya tiada lagi graduan cuba mengambil jalan singkat untuk tular lagi selepas ini. Mengikut protokol atau peraturan, bukanlah bermaksud anda kolot tetapi garis panduan itu disediakan bagi melancarkan satu-satu majlis.

Seperti dasar kata adab tadi, kebiasaan – adakah akan berlaku revolusi ‘budaya konvokesyen’ kelak untuk bertindak ‘di luar kotak’?

Tepuk dada, tanya selera. Maklumlah jiwa orang muda, geloranya berbeza. Bak kata F. Scott Fitzgerald, “either one learns politeness at home… or the world teaches it to you with a whip and you may get hurt in the process”.

Apa yang pasti, saya tidak sabar ingin berjumpa bekas pelajar-pelajar yang bakal menyarungkan jubah akademik hujung bulan ini, bersama-sama berarak masuk ke dalam dewan untuk dihimpunkan dalam satu upacara keramat simbol tradisi keilmuan.

Ia satu detik istimewa, tanda anda telah berjaya mengharungi jerih-perih sebagai mahasiswa, menggengam ijazah, selangkah lebih dekat untuk mengapai cita-cita anda.

Jadilah seorang graduan yang bukan sahaja berilmu tetapi beradab dalam abad ke-21 kerana tanpa adab, anda berubah adjektif menjadi biadap.

Kepada yang akan berkonvokesyen, tahniah dan selamat menjalani kehidupan pasca-graduan!

 
(Penulis adalah Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau)