STORYTELLING, KONFLIK, MUSUH PALING KUAT DAN...

Rabu, 14 Oktober 2020

Oleh:

Muhammad Azli Shukri

Rahsia besar kandungan dalam mana-mana storytelling adalah ‘musuh yang paling kuat’.

Mari sama-sama kita fahami. Apakah yang menyebabkan sesebuah cerita menjadi epik?

Ramai yang berpandangan, ia disebabkan oleh ‘karakter’. Apakah Hang Tuah menjadi epik kerana karakternya yang perkasa; setia; bijak dan kuat semata-mata? Jawapannya – tidak! 
 

Storytelling yang hebat adalah hubungan antara karakter dengan konflik. Pertarungan antara mereka berdua adalah konflik.

Hang Tuah berjaya membunuh pendekar Jawa yang kebal, Si Taming Sari. Majapahit akhirnya menghormati Sultan Melaka, semua ini adalah ‘hubungan’ yang terbentuk antara konflik dengan karakter. Kematian Taming Sari menjadikan Hang Tuah super hero yang kebal dan tidak terkalah.

Konflik adalah jantung setiap kisah epik yang hebat. Batman memerlukan Joker; Daenerys memerlukan Lannister dan Luke Skywalker memerlukan Darth Vader.
 

Lazimnya musuh yang hebat memaksa pahlawan menjadi pahlawan. Inilah konflik yang menghasilkan kekacauan. Kekacauan dihasilkan oleh penjahat dan penjahat mengaktifkan tindak balas daripada pahlawan (hero) –  hubungan antara konflik dengan karakter inilah yang membina storytelling super hebat.

The Dark Knight adalah contoh yang baik. Batman tidak terlibat apa-apa dengan Joker, tetapi Batman terpaksa bertindak kerana kekacauan yang dicetuskan oleh Joker.

Hero atau wira adalah penawar untuk semua jenis kekacauan. Kekacauan berfungsi untuk melahirkan penjahat, kejahatan dan musuh.
 

Penjahat atau musuh tidak semestinya orang. Penjahat hanya perlu menjadi sumber kekacauan dan pergolakan yang hebat. Musuh atau penjahat boleh sahaja berwajah alam semesta (Armageddon) atau teknologi (The Terminator dan The Matrix) atau kuasa asing (Alien dan The Independence Day).

Apakah maknanya semua ini kepada kita? Semua jenama besar di dunia mengetahui hal ini. Setiap kisah pemasaran yang hebat memerlukan karakter penjahat atau musuh.

Siapakah ‘musuh’ kepada Apple? Microsoft?; siapakah ‘musuh’ kepada Coca-Cola? Pepsi?; siapakah ‘musuh’ kepada McD? KFC?; siapakah ‘musuh’ kepada Amazon? Kecekapan dan kepantasan?; siapakah ‘musuh’ kepada Tesla? Iklim dan persekitaran yang sukar?; siapakah ‘musuh’ kepada Google? Teknologi carian ‘jahat’?
 

Penjahat tidak semestinya manusia, sebaliknya apa-apa sahaja yang mencetuskan huru-hara dan kekacauan yang menarik perhatian. Jadi bina hubungan antara karakter (produk) dengan konflik dan tawarkan cerita penyelesaian.

Nah! Sekarang apakah produk atau servis anda? Siapakah ‘musuh’ dan penjahat yang anda lihat boleh mencetuskan ‘huru-hara dan kekacauan’?

Bina cerita hebat untuk menentangnya! Dan jadikan cerita anda cerita pemasaran yang super hebat.

Selamat mencuba!

©Muhammad Azli Shukri, 2020

Join telegram saya di t.me/azlishukri

*Penulis merupakan Mantan Editor di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kini sebagai Editor Kanan Penerbit di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Kredit foto:
Says; Jason Fabok; Daily Express & FilmTimes