NOKTAH YANG TIDAK BERTITIK

Sabtu, 13 Oktober 2019

Oleh:

Nurul Aishah Ab Raman

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan perkhabaran duka penamatan operasi syarikat Utusan Malaysia selepas berbakti selama 80 tahun.

Terkuburnya akhbar Bahasa Melayu tertua di negara ini memberikan satu tamparan hebat kepada dunia media, selepas syarikat itu gagal keluar daripada kemelut kewangan yang meruncing sejak beberapa tahun lalu.

Terbungkam seribu rasa, sebak melihat laporan-laporan berita. Tambah pilu apabila menatap wajah-wajah pekerja syarikat itu yang diberikan notis singkat untuk meninggalkan pejabat mereka Rabu lalu.

I can only imagine the pain. Benar kata pepatah, ‘berat mata memandang; berat lagi bahu yang memikul’.

Terdetik di hati, organisasi media yang mana pula bakal menerima nasib sama selepas ini?

Adakah benar industri media, khususnya persuratkhabaran semakin cenderung merosot ibarat menunggu masa untuk terbenam di ufuk dunia kewartawanan?

Ini bukan nukilan cuba-cubaan menjadi pundit menganalisis ekonomi industri media, tapi hanya berkongsi rasa dan menzahirkan sokongan terhadap kepentingan untuk semua bangkit bagi menyokong survival media itu.

Namun cikgi sebagai reporter pencen yang masih duduk dalam alam komunikasi dan media, cuba menggilap bakat-bakat baharu dan menyuntikkan roh prinsip-prinsip kewartawanan agar jiwa mereka nanti sebati untuk meneruskan perjuangan, selaku pengamal media yang bertanggungjawab dan berdedikasi.

Dalam kita mendepani arus moden dan digital, keadaan media massa dalam negara semakin diasak dengan sengit oleh pelbagai elemen, baik dari dalam dan luar sistem media itu sendiri.

Tapi untuk menidakkan terus pengaruh media itu, satu perspektif dangkal. Terutamanya dalam konteks pelaporan peristiwa yang punya nilai berita seperti unsur kejutan; keluarbiasaan; impak; ketokohan; kemanusiaan yang menyentuh minat dan perasaan pembaca.

Hakikatnya media terus memainkan peranan penting mencorakkan masyarakat, cuma medium kini berbeza seiring kehendak semasa dan kemajuan teknologi.

Dunia tanpa sempadan dalam setiap aspek ekonomi kini mengamalkan konsep ‘langit terbuka’ dan industri media tidak terkecuali.

Tahap kebergantungan yang tinggi terhadap penggunaan internet turut memberikan tempias kepada corak perubahan pengguna media massa – yang kini beralih kepada pelaporan berita lebih ringkas menerusi media sosial seperti Facebook; Twitter dan Instagram.

Mengikut Laporan Digital 2019 (Hootsuite and We Are Social), Malaysia adalah negara kelima tertinggi di dunia melayari media sosial dengan purata masa 2 jam 59 minit digunakan bagi tujuan berkenaan.

Durasi penembusan internet pula pada tahap 80%. Kalau ditafsirkan angka-angka ini, maka sememangnya tidak hairanlah media massa tradisional semakin menghampiri noktah.

Namun apakah kita, terutama yang terkesan dalam bidang ini secara langsung atau tidak, akan mudah mengaku kalah?

Bagi cikgi, mungkin sudah tiba masanya semboyan ‘tanggungjawab sosial pengguna media digital’ dibunyikan – untuk setiap daripada kita menyemarakkan semula industri media ini.

Tunjukkan solidariti anda, bukan sahaja menyokong sebarang wadah media dalam bentuk fizikal, namun untuk setiap naskhahnya dalam versi digital.

Tekan butang ‘klik’, ‘subscribe’, ‘follow’, ‘retweet’ dan setara dengannya sebagai tanda sokongan anda. Langgan akses penuh media yang ditawarkan, muat turun aplikasi organisasi media yang ada di pasaran dan cuba kekalkan tumpuan penuh tanpa mengalih-alihkan siaran ketika menonton satu-satu program di kaca TV.

Kalau yang sudah berbuat demikian, tahniah dan semoga istiqomah. Bagi yang belum, ini juga pesanan khidmat masyarakat seorang cikgi media kepada anda terutama pelajar-pelajar dalam bidang ini.

Bak kata Ruth Bader Ginsburg, “sesuatu yang diperjuangkan itu perlu fokus; teruskan sehingga perjuanganmu itu mampu menggerakkan lain untuk ikut serta”.

Semoga industri media temu noktah yang tidak bertitik dan bukan seperti selalunya sifat tanda noktah itu mengakhirkan kalimat, sebaliknya mampu bertemu tanda koma agar ada sambungan pada naratif industri media ini.


(Penulis adalah Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kampus Rembau, Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan)


*Terima kasih kepada Utusan Malaysia yang selama ini banyak memberikan sokongan dan liputan terhadap aktiviti membabitkan pelajar-pelajar UiTM Kampus Rembau. Jasamu terus dikenang!