HUJAN MELANKOLIK

Khamis, 07 November 2019

Oleh:

Nurul Aishah Ab Raman

Dalam penghasilan sesuatu karya sastera, hujan merupakan antara unsur alam yang sering dikaitkan sang pengkarya sebagai refleksi dan kontemplasi kehidupan untuk diterjemahkan ke bentuk penulisan sama ada puisi; prosa atau drama. 

Rima; irama; mantra dan bait atau dalam lenggok analisis linguistik - stilistika, amat penting bagi mereka yang ingin mendalami dan memahami karya kompleks sastera.

Tujuannya agar tidak dianggap remeh dan sekadar khayalan pensyair yang bergurindam tanpa makna dan nilai estetika dalam penulisan.

Menurut Sasterawan Negara, Allahyarham Dato’ Dr Usman Awang, puisi bukanlah satu nyanyian orang putus asa yang mencari ketenangan dan kepuasan dalam puisi yang ditulisnya.

Penyair terkenal Inggeris, John Keats pula menyifatkan puisi sebagai satu usaha membaca indah dari membayangkan suatu narasi proses pemikiran atau logis.

Bagi penulis, ada sesuatu tentang hujan yang serba menenangkan tapi bawa bersama rasa rindu menebal dikalbu.

Selain rintiknya membasah bumi dan mendinginkan, hujan ada konotosi melankolik dan mistis. Tetapi ketepikan dulu soal sastera dan hujan. 

Malah dalam Islam juga, kita dianjurkan untuk berdoa tatkala hujan kerana hujan itu adalah rahmat Allah SWT.

Seperti diriwayatkan oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Carilah doa yang mustajab pada tiga keadaan, bertemunya dua pasukan (peperangan), ketika azan dan saat hujan”. 

Apa yang pasti, ini bukan masa untuk berfilosofi – bermadah mendung tidak bererti hujan bukan tempatnya kerana menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, musim tengkujuh yang bermula Oktober lalu dijangka akan berlarutan hingga awal tahun hadapan.

Maka hampir pasti, terutama waktu petang hingga malam, hujan diramalkan berlaku. Dengan adanya hujan lebat yang berterusan juga bermakna di sesetengah kawasan rendah akan mudah dinaiki air. 

Pelbagai ragam dan rasa manusia ketika hujan boleh kita perhatikan.

Ada yang mengurangkan aktiviti luar, tidak kurang juga yang mengeluh kerana baju-baju yang dibasuh lambat kering dan ada juga rasa seronok terutama kanak-kanak kerana dapat bermain air. 

Dek cuaca yang tidak menentu ini, kita juga sering diingatkan agar waspada dengan kesihatan diri. Musim hujan juga sinonim dengan mengundang penyakit seperti selesema; demam; batuk dan hipotermia.

Namun, semuanya boleh dihindari sekiranya kita mengambil pendekatan proaktif untuk menjaga diri sendiri.

Hakikatnya, hujan adalah kurniaan Allah SWT. Bukti kekuasaan-Nya menurunkan air dari langit dan memberhentikannya tanpa sebarang paksaan atau pun pertolongan daripada pihak lain. Bumi yang kering dan tandus berubah subur setelah diturunkan hujan ke atasnya. 

Begitulah perihal hujan dan perkara yang perlu diambil perhatian. Tidak kiralah renyai-renyai atau hujan lebat, apa pun interpretasi dan apresiasi kita tentangnya, hujan sememangnya membawa seribu rahmat, mudah-mudahan kepada kita yang beringat. 

Secara peribadi, seperti dinukilkan awal tadi, setiap kali hujan, bawa pengertian tersendiri. Rasa sebak dan sayu terutama kini sejak pemergian ibu 7 Ogos 2019 yang lalu.

Senyum kemboja mengantar kami,
Meninggalkan makam sepi sendiri,
Damailah bonda dalam pengabdian,
Insan kerdil mengadap Tuhan.

Begitu bakti kami berikan,
Tiada sama bonda melahirkan,
Kasih bonda tiada sempadan,
Kemuncak murni kemuliaan insan.

*Usman Awang, 'Ke Makam Bonda'.

Tidak, jangan sesekali mengeluh apabila hujan. Seperti juga kehilangan insan tersayang seperti ibu, hujan sekiranya mengakibatkan banjir yang memusnahkan adalah satu bentuk ujian.

Ujian oleh Allah SWT untuk menguji kesabaran hamba-hambanya, dan menjadikan kita hamba yang bersyukur ke atas nikmat yang diberikan selama ini.

Maka, ayuh kita ambil kesempatan, tatkala musim hujan ini untuk menadah tangan, mengharapkan agar doa kita dimakbulkan Tuhan. Selain menjaga diri dan kesihatan, agar terhindar daripada sebarang mudarat yang boleh membinasakan. 

Ya, ceritera kali ini ditulis ketika hujan lebat dan penulis rasa kedinginan dan melankolik.


*Penulis adalah Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau.