INDAHNYA HIDUP BERMUAFAKAT

Rabu, 04 Disember 2019

Oleh:

Azaika SR

Suara angin yang bertiup jelas kedengaran bernyanyi-nyanyi riang.

Pohon-pohon yang menghijau kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin.

Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri mengikut rentak angin yang bertiup.

Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.

“Ke bukit sama kita daki. Ke lurah sama kita turuni. Demikianlah indahnya hidup bermuafakat,” kata Pak Leman.

“Bagai aur dengan tebing, saling sandar-menyandar. Kita hidup saling memerlukan antara satu sama lain,” ujar Pak Osman.

“Kita hidup mesti bersatu. Bukannya berpecah-belah. Perpecahan tidak membawa keuntungan. Sebaliknya merugikan diri kita sendiri,” tambah Pak Hussein pula sebaliknya.

“Bumi mana yang tak ditimpa hujan. Cawan mana yang tak pecah. 

Gading mana yang tak retak. Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita sesama manusia. Tidak dapat lari daripada bersengketa dan berselisih pendapat. Perkara yang kecil janganlah diperbesarkan sehingga membawa kepada perbalahan,” ulas Pak Osman.

“Memang betul kata kau tu, Man!” sokong Pak Leman sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Tak ada kusut yang tak boleh dileraikan. Tak ada masalah yang tak boleh diselesaikan. Asalkan duduk berbincang dan berunding,” dia menyambung lagi.

Angin yang datang daripada arah bukit bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Matahari kelihatan meninggi di kaki langit. Sinaran cahayanya yang terang-benderang menyinari seluruh kampung yang indah dan permai.

Bunyi ranting patah jatuh bergemertap ditiup angin dan menimpa permukaan tanah jelas kedengaran membelah suasana pagi yang tenang dan hening.

“Bukan itu sahaja. Batu yang besar dan berat pun boleh kita pecahkan. Apabila kita sentiasa bersepakat dan bersatu padu,” ucap Pak Hussein.

“Bak kata pepatah berat sama kita pikul ringan sama kita jinjing,” celah Pak Leman pula sebaliknya dengan pantas.

“Dalam melakukan sesuatu mahupun pekerjaan kita mesti bermuafakat. Kalau kita sahaja yang bekerja jawabnya tak akan menjadi,” kata Pak Osman.

“Duduk seorang jadinya sempit. Duduk ramai jadinya lapang. Di situlah yang menggambarkan betapa pentingnya kita bekerja dalam satu pasukan,” tambah Pak Hussein.

“Sebab itulah sejak dari dahulu lagi kita yang hidup di kampung ni dididik agar sentiasa bermuafakat dan tolong-menolong antara satu sama lain. Dalam erti kata lain susah dan senang sama-sama kita rasa,” ujar Pak Leman.

“Seperti kata orang benih yang baik apabila disemai pasti akan membuahkan hasil yang lumayan. Apabila kita mempunyai semangat kesepakatan yang kuat dan kukuh maka kita terhindar daripada persengketaan dan perpecahan,” celah Pak Osman pula sebaliknya.

“Aku berasa amat bersyukur. Perpecahan tidak terjadi di kalangan kita di kampung ni,” ucap Pak Leman.

“Macam orang yang berniaga. Dengan mengeluarkan modal dan menjalankan perniagaan melalui cara yang baik maka kita akan mendapat untung yang lumayan dan berlipat kali ganda. Begitulah dengan halnya apabila kita menyemai benih muafakat dan bekerjasama maka tembok perpaduan yang kita bina di kampung ni tidak dapat dirobohkan dan dimusnahkan oleh mereka yang mahu melihat kita bertelagah dan bersengketa sesama sendiri,” ulas Pak Hussein dengan penuh panjang lebar.

Desiran angin yang tadinya bertiup perlahan dan lemah-gemalai tiba-tiba bertukar menjadi kencang.

Pelepah pisang di belakang rumah Pak Leman kedengaran berbunyi kelepak-kelepuk apabila ditiup angin.

Bahang matahari yang panas dan memijar jelas terasa menyelubungi seluruh kampung.

Sudah lama hujan tidak turun. Hampir berbulan-bulan. Panas daripada pagi membawa hingga ke petang.

Rumput yang menghijau bertukar warna menjadi keperangan. Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan dan menutupi permukaan tanah.

“Macam yang kau katakan tadi, Sin. Umpama bagaimana kita menanam begitu jugalah kita akan menikmati hasilnya. Perkara baik yang kita lakukan pasti akan mendatangkan manfaat kepada kita. Tapi aku rasa sedih jugak. Ada melihat di tempat lain berlakunya perpecahan yang dicetuskan oleh mereka yang bukan sahaja tidak suka untuk melihat sesama kita bersatu malahan juga mempunyai kepentingan diri sendiri,” ulas Pak Leman.

“Bagi mereka hanya dengan cara itu sajalah untuk menjadikan cita-cita dan matlamat tercapai sepenuhnya,” kata Pak Hussein.

“Cara yang digunakan oleh mereka itu seharusnya kita tentang habis-habisan. Demi untuk menjaga perpaduan dan keharmonian di kalangan kita,” tegas Pak Leman.

“Aku amat bersetuju sekali dengan apa yang kau katakan tu, Leman!” celah Pak Osman dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Jangan kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga. Jangan kerana mereka kita menjadi porak-peranda dan tidak bersatu hati lagi,” sambungnya.

“Aku yakin. Kalau kita dapat mematahkan niat jahat mereka itu pasti tidak akan berlaku perpecahan di kalangan kita,” ujar kata Pak Hussein.

“Betul kata kau tu, Sin!” balas Pak Leman pula sebaliknya dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Ibarat penyakit. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat,” dia menyambung lagi.

Demikianlah rancaknya perbualan Pak Leman, Pak Osman dan Pak Hussein.

Tajuk yang mereka bincangkan adalah mengenai pentingnya hidup bermuafakat dan bersatu padu.

Angin yang datang daripada arah bukit berhadapan dengan rumah Pak Leman bertiup lembut dan perlahan.

“Kalau dah jadi penyakit yang parah memang susah nak diubat. Sebab itu kita perlu berwaspada dan berhati-hati dengan mereka yang membawa penyakit perpecahan dan mendatangkan mudarat kepada kita semua,” ingat Pak Osman.

“Bagi aku dalam hal ni kita kena sentiasa merapatkan barisan. Bila barisan kita dah rapat dan bersatu hati maka dapat menggagalkan niat jahat mereka tu,” kata Pak Hussein.

“Memang itulah yang perlu kita lakukan, Sin!” angguk Pak Leman dengan pantas.

“Apabila kita berjaya menutup semua ruang yang membolehkan mereka untuk memasukkan jarum pepercahan maka rancangan buruk mereka itu dapat dipatahkan,” sambungnya lagi.

Semakin hangat nampaknya perbualan Pak Leman, Pak Osman dan Pak Hussein. Sehangat matahari yang bersinar di kaki langit.

Pohon-pohon menghijau yang mengangguk-angguk apabila ditiup angin seolah-olah menyatakan sokongan dan persetujuan terhadap tajuk perbualan yang dibicarakan oleh mereka bertiga.

Sementara itu pohon nyiur yang tumbuh di halaman rumah Pak Leman kelihatan seperti melambai-lambai apabila ditiup angin.

Lambaian nyiur itu seperti mengajak anak-anak muda yang sedang mencari rezeki di bandar agar pulang semula ke kampung halaman untuk menabur khidmat dan bakti.

“Perpaduan amat tinggi nilainya. Lebih-lebih lagi bagi kita yang hidup bermasyarakat,” tegas Pak Leman lagi.

“Siapa lagi yang hendak mempertahankannya kalau bukan kita,” tambah Pak Hussein.

“Anak cucu kita juga perlu mewarisi perpaduan yang sekian lama kita bina di kampung ni,” ujar Pak Osman.

“Itu sudah semestinya, Man!” sokong Pak Hussein pula dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Dalam hal ini bagi aku kita perlu tunjukkan kepada mereka akan indah dan cantiknya hidup bersatu dan bermuafakat. Ibarat kata orang kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dari awal lagi kita perlu didik dan bentuk mereka dengan nilai-nilai murni dan falsafah hidup bermuafakat dan bersatu,” sambungnya lagi.

“Aku amat bersetuju sekali dengan apa yang kau katakan tu, Sin. Kalau kita dah bina tapak dari sekarang maka mudahlah untuk kita meninggalkan kepada mereka akan satu kehidupan yang mencerminkan semangat untuk sentiasa bersama-sama dan tidak berpecah-belah sesama sendiri,” kata Pak Leman mengakhiri perbualan.

Menjelang tengah hari Pak Osman dan Pak Hussein lalu meninggalkan rumah Pak Leman.