A. AIDA KEMBALI DALAM BIDANG PENDIDIKAN KEMAHIRAN

Khamis, 12 Disember 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/2

KUALA LUMPUR: Penerbit drama terkenal tanah air, Dato' A Aida, 48, membuat keputusan untuk kembali berkecimpung dalam bidang pendidikan kemahiran.

Menurut beliau, kejayaan rakan-rakan yang memiliki jet peribadi dan beberapa rumah di luar negara telah menjadi pendorong dalam perkara berkenaan.

Sehubungan itu, beliau melaburkan hampir jutaan ringgit untuk menubuhkan sebuah kolej swasta di Cyberjaya bagi mengembangkan perniagaan sedia ada.

"(Perkara) yang menyebabkan saya nak buka kolej disebabkan ramai rakan buat dan hidup mereka berjaya. Mereka ada jet peribadi dan rumah di seluruh dunia.

"Saya teringin (juga) nak ada jet peribadi dan sebelum ini pun, saya pernah belajar bawa kapal terbang. Insya-Allah, saya merancang nak ambil semula lesen (kapal terbang).

"Sebab itu saya nak 'explore' macam-macam bisnes. Ramai tak tahu, syarikat produksi hanya 'side business'. Bisnes yang saya fokus sebenarnya berkaitan hartanah dan beberapa bisnes lain," katanya.

Pada masa sama, kata A. Aida, dia berasa terpanggil untuk membuka sebuah kolej yang menawarkan latihan kemahiran iaitu Cyberjaya Skills International College (CYSIC).

Menariknya, kolej ini dikatakan sebagai kolej pertama di Malaysia menawarkan Kursus Kemahiran Mutawwif dan Pembancuh Kopi atau Barista.

"Buat masa ini, saya cuma sewa (dulu) bangunan itu. Sewa saja RM300,000 sebulan. Saya dalam usaha nak beli bangunan itu.

"Paling penting, objektif saya (mahu) buka kolej ini nak bantu mereka (pelajar) cari tempat belajar yang lebih fokus kepada praktikal dan kemahiran," katanya.

Menurut A. Aida, beliau yakin usahanya kali ini bakal membuahkan hasil biar pun pernah gagal dalam bidang yang sama enam tahun lalu.

"Saya memang dah ada kolej sendiri enam tahun lepas, tapi waktu itu rakan kongsi tak berapa fokus sebab sibuk dengan kerjaya masing-masing.

"Tapi kali ini saya yakin kerana tiga lagi 'share partner' sangat berpengalaman dengan bisnes ini," ujarnya.