NAIK TARAF PADANG HOKI DI TAMPIN

23 Julai 2018          Foto: Nabilsyafiq Mohd Hamzah dan Leong Weng Onn

SEREMBAN: Kerajaan negeri berhasrat menaik taraf kemudahan padang hoki di Tampin, dalam usaha menjadikan daerah itu sebagai pusat kecemerlangan bagi sukan berkenaan.

 

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, pihaknya akan memohon sedikit sumbangan daripada Kementerian Belia dan Sukan untuk memperbaiki salah satu padang di situ.

"Mereka ada padang, tapi dah lusuh. Jadi kita akan minta pada kementerian untuk pertimbangkan, agar kita dapat sebuah padang yang baik di Tampin.

 

"Tujuannya supaya mereka sentiasa bermain dalam keadaan sebenar dan dapat skil terbaik apabila bermain di tempat-tempat lain.

"Sebab kalau mereka guna padang biasa, skil mereka akan berubah-ubah. Kita minta perkara ni (dilaksanakan)

seberapa segera. Kalau boleh, tahun depan kita buat," katanya

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran Liga Hoki Piala Menteri Besar Negeri Sembilan di Stadium Hoki Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di Bukit Chedang, di sini, petang tadi.

 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dr Razali Ab Malik dan Yang Dipertua MPS, Datuk Abd Halim Abd Latif.

 

Dalam pada itu, kata Aminuddin, pihaknya turut bercadang meningkatkan lagi amaun hadiah yang ditawarkan pada kejohanan berkenaan.

 

"Kita rasa perlu naikkan (amaun hadiah) pada tahun depan, insya-ALLAH," katanya.

 

Liga Hoki Piala Menteri Besar Negeri Sembilan yang berlangsung mulai hari ini hingga September depan, disertai 25 pasukan.

 

17 daripadanya bagi kategori lelaki, manakala lapan pasukan lagi untuk kategori wanita.