KEBERSIHAN PANTAI PD JADI KEUTAMAAN

21 Julai 2018          Foto: Nabilsyafiq Mohd Hamzah

NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan sudah mengarahkan syarikat konsesi pembersihan iaitu SWM Environment Sdn Bhd, supaya memberi keutamaan untuk membersihkan kawasan pantai peranginan Port Dickson pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

 

Menteri Besar Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, pembersihan itu perlu dipastikan sebelum jam 8 pagi hari berkenaan, bagi memastikan pengunjung selesa bercuti di kawasan terbabit.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawantankuasa Bertindak Pelancongan Negeri Sembilan berkata, pihaknya mahu kawasan pantai di Port Dickson sentiasa bersih dan cantik.

 

"Setakat ini kita masih belum berpuas hati terhadap tahap kebersihan pantai Port Dickson. Kita nak sebelum jam 8 pagi setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad keadaan pantai Port Dickson bersih.


"Kita tidak mahu lagi aktiviti pembersihan dimulakan

selepas jam 9 pagi sehingga tengah hari seperti sebelum ini," katanya selepas merasmikan Hari Anugerah Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Klana Putra, Lenggeng, hari ini.

 

Dalam pada itu, Haji Aminuddin berkata Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) akan diberi nafas baharu supaya dapat memainkan peranan lebih berkesan memajukan industri pelancongan di negeri ini.

 

Beliau berkata, kakitangan LPNS juga akan diteliti manakala kalendar pelancongan yang disusun oleh LPNS juga akan disemak semula.

 

"Kita mahu acara pelancongan yang disusun mempunyai tarikan untuk disertai oleh orang luar," katanya.

 

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sudah menyerahkan bantuan pelajaran antara RM500 hingga RM1,000 kepada lebih 2,000 anak Negeri Sembilan yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sejak bulan lalu.

 

Beliau berkata, sebanyak RM2 juta dibelanjakan bagi tujuan itu dengan pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat sijil menerima RM500, diploma (RM750) dan ijazah (RM1,000).

 

Terdahulu dalam ucapannya, Haji Aminuddin berharap hubungan antara guru dan ibu bapa sentiasa baik untuk memastikan agenda memartabatkan pendidikan dan kejayaan sekolah serta generasi muda dapat direalisasikan.

 

"Muafakat dalam kalangan guru, ibu bapa dan pihak sekolah amat penting dalam memastikan kejayaan pelajar," katanya.