MB: CONTOHI MAAHAD TAHFIZ AL AMMAR

22 Julai 2018          Foto: Nabilsyafiq Mohd Hamzah

SEREMBAN: Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun memuji langkah pengasas dan pengusaha Maahad Tahfiz Al Ammar di Rantau, yang menyediakan infrastruktur lengkap dan moden, sebelum menerima pelajar.

 

Beliau berkata, tindakan diambil pengusaha terbabit amat sesuai dalam memastikan pelajar mendapat keselesaan sebelum memulakan pengajian.

 

"Saya terperanjat bila mendapati pengusaha Maahad Tahfiz Al Ammar ni menyediakan infrastruktur yang lengkap dan moden, sebelum ambil pelajar.

 

"Kemudahan disediakan di sini dilihat begitu baik dan selesa, manakala pelajar diambil juga ditapis terlebih dulu untuk memastikan prestasi dan pencapaian yang cemerlang.


"Malah, modul pembelajaran digunakan juga sesuai dan amat baik sekali gus membantu memperkasakan lagi sistem pembelajaran dan pengajian tahfiz di negeri ni,"

katanya.

Beliau ditemui selepas Majls Perasmian Maahad Tahfiz Al Ammar di Kampung Tanjung, Rantau di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir mencemar duli merasmikan majlis berkenaan.

 

Turut berangkat mencemar duli ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

 

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dr Razali Ab Malik.

 

Menteri Besar berkata, pihaknya yakin menerusi penyediaan infrastruktur yang baik dapat menjamin keselamatan pelajar, sekali gus boleh mengelak kejadian tidak diingini seperti kebakaran dan sebagainya.

 

Sehubungan itu, beliau menggesa pengusaha tahfiz lain di negeri ini agar mencontohi Al Ammar dalam mengelolakan sebuah maahad tahfiz bertaraf tinggi.

 

"Selain menjalinkan hubungan baik dengan universiti tempatan, maahad ni juga mempunyai sumber kewangan yang kukuh," katanya.

 

Aminuddin berkata, pihaknya berharap pengurusan Al Ammar dapat memberikan kerjasama dengan membantu pusat tahfiz lain, demi untuk melahirkan lebih ramai generasi muda yang celik al-Quran.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memberikan sokongan padu kepada pengurusan maahad tahfiz terbabit berikutan seiring dengan hasrat kerajaan untuk melihat pusat tahfiz berkembang dengan baik dalam menyebarkan syiar Islam.

 

"Saya harap semua pengusaha pusat tahfiz di negeri ni dapat duduk berbincang untuk sama-sama berusaha memperkasakan lagi pengajian maahad tahfiz," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau juga berharap pengurusan Maahad Tahfiz Al Ammar dapat mengutamakan pengambilan pelajar dari kalangan penduduk negeri ini.

 

"Oleh kerana maahad tahfiz ni dikendalikan pihak swasta, saya harap mereka dapat beri keutamaan dalam kalangan anak-anak negeri untuk belajar di sini," katanya.