TIGA MAUT PESAWAT PADAM KEBAKARAN TERHEMPAS

Jumaat, 24 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/1

CANBERRA: Seramai tiga orang maut apabila sebuah pesawat memadam kebakaran hutan di Australia terhempas, semalam.

Kejadian itu melibatkan sebuah pesawat C-130 bernombor N134CG milik syarikat Coulson Aviation USA yang berpangkalan di Portland, Oregon.

Ketika kejadian, pesawat tersebut dikendalikan oleh tiga anak kapal warganegara Amerika Syarikat.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Coulson Aviation, yang turut mengesahkan kejadian berkata, pesawat berkenaan terhempas di Snowy Monaro Area.

“Pesawat telah berlepas dari Pangkalan Udara Richmond dengan membawa muatan pemadam untuk memadam kebakaran hutan,” katanya.

Sementara itu, pihak Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menyatakan bahawa laporan awal insiden akan siap dalam tempoh 30 hari.

“ATSB akan (melakukan) analisa segala rekod data; keterangan saksi dan laporan cuaca,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

 

Pesawat yang digelar ‘Zeus’ itu dilaporkan terputus hubungan pada jam10.30 pagi waktu Malaysia (1.30 petang waktu Australia Timur).

Operasi mencari dilancarkan sejurus menerima laporan mengenai kejadian terbabit, yang melibatkan sebuah pesawat rondaan maritim P-8A Poseidon, milik Tentera Udara Diraja Australia.