RAHSIA DI SEBALIK USIA NOBITA

Isnin, 26 Oktober 2020

Oleh:

Khairulkheiza Mohd Najib @ Kero

Alkisah

Umumnya seluruh dunia mengetahui bahawa karakter Nobita Nobi dalam siri animasi 'Doraemon' adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia sekitar 10 tahun.

Namun tahukah anda, ada sesuatu telah menimpa anak tunggal Nobisuke Nobi dan Tamako Nobi ini hingga memberi impak yang besar terhadap hidupnya?

Hanya Nobita dan Doraemon yang tahu, kerana perkara tersebut dirahsiakan daripada semua pihak (kecuali pembaca siri manga & anime 'Doraemon' - lah).

Percaya atau tidak, usia sebenar Nobita sejak episod ke-258 yang disiarkan TV Asahi pada 19 September 2008, didapati sudah menjangkau sekitar 18 atau 20 tahun.

Bertajuk 'Nobita ga Mujintou de 3,000-nichi' atau dalam Bahasa Melayu bermaksud '3,000 Hari Nobita di Pulau Tidak Berpenghuni', sememangnya jelas menggambarkan mesej yang cuba disampaikan.

Gara-gara merajuk kerana dimarahi oleh ibu bapanya akibat pulang lewat malam, Nobita telah bawa diri ke sebuah pulau yang tidak berpenghuni sebagai tanda protes.

Doraemon tidak cuba halang? Sudah... tetapi tidak berhasil sebab dia pengsan akibat terkejut dengan mainan tikus yang muncul dari dalam kotak, dihulurkan oleh Nobita.

Tanpa berlengah, Nobita pun mengambil beberapa peralatan pelik yang tidak diketahui fungsinya dari poket empat dimensi Doraemon untuk kegunaannya kelak.

Malangnya, sebilangan kecil sahaja yang benar-benar berguna semasa Nobita berada di pulau terbiar berkenaan. Antaranya seperti Mole Gloves untuk menggali.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa Nobita tidak bawa sahaja poket empat dimensi bersamanya, memandangkan poket itu boleh ditanggalkan dari perut Doraemon?

Seandainya Nobita berbuat demikian, maka kesudahannya pasti berbeza. Sebab Doraemon masih boleh cari Nobita dengan memasuki poket empat dimensi simpanan, dan muncul dari poket yang dibawa lari.

Berbalik kepada kisah Nobita di pulau tidak berpenghuni, dia cuba balik sebenarnya (bila sedar tidak mampu hidup sendirian di situ). Masalahnya Take-Copter dia terlepas dari tangan dan terbang ke udara.

Lazimnya, Nobita akan letak Take-Copter di kepala terlebih dahulu, kemudian baru dihidupkan suisnya. Tetapi akibat kecuaian, boleh pula Nobita hidupkan suisnya terlebih dahulu sebelum dipakai.

Maka terdamparlah Nobita di pulau tersebut. Setiap hari dia akan merenung ke arah matahari terbenam, sambil berharap Doraemon datang menyelamatkannya.

Namun 3,000 hari telah berlalu dan Nobita semakin menginjak dewasa. Tatkala dia semakin putus harapan, masa itulah dia terjumpa salah satu alat yang telah dibuang.

Selepas ditekan punat tertentu hingga menghasilkan bunyi dan gelombang yang aneh, maka muncullah Doraemon tidak berapa lama kemudian.

Rupa-rupanya alat berkenaan berfungsi sebagai pemancar S.O.S untuk meminta bantuan. Dari situ, Doraemon dapat tahu lokasi Nobita.

Dipendekkan cerita, Nobita pun balik ke rumah dengan Doraemon.

 

Kemudian, mereka berdua menaiki mesin masa untuk pulang ke waktu malam semasa Nobita melarikan diri.

Doraemon turut menggunakan Kain Masa, untuk kembalikan Nobita ke bentuk fizikal kanak-kanak yang berusia 10 tahun.

Kalau anda semua masih ingat, Kero ada sebutkan pada perenggan keempat dari atas, bahawa usia Nobita yang terkini sekitar 18 hingga 20 tahun.

Begini alasannya... jika diperhatikan pada tajuk, dengan jelas menyebut 3,000 hari. Maka dari sudut Matematik, angka ini bersamaan lebih kurang lapan tahun.

Namun jika diamati dengan jelas dialog Nobita dalam episod berkenaan, dinyatakan bahawa dia sudah meninggalkan rumah selama 10 tahun.

Bagaimanapun yang paling menggerunkan Kero, apabila memikirkan mengenai kitaran yang tidak bernoktah melibatkan Nobita dan Doraemon.

Apabila Nobita dari masa hadapan pergi ke masa lampau, bermakna dia menggantikan dirinya pada masa lalu yang telah melarikan diri.

Nobita di masa lalu pula, tetap perlu menempuh hidup di pulau tidak berpenghuni selama 8 atau 10 tahun, sehinggalah diselamatkan oleh Doreamon.

Bagi sebuah siri manga dan animasi kanak-kanak dalam kategori kodomo, kesudahan sebegini boleh disifatkan sebagai cukup tragis, bukan?

 

 

 

Info Penulis:

Khairulkheiza telah berkecimpung dalam dunia media lebih 15 tahun dan pernah menyandang pelbagai jawatan seperti pembaca pruf; penulis kreatif; wartawan majalah; wartawan akhbar; pembantu editor dan MOJO (Mobile Journalist).

Kini beliau merupakan salah seorang pengasas dan pengendali media online iaitu Facebook dan Twitter NS Daily, serta laman web www.negerisembilan.org.

Kredit foto:
Fujiko Fujio; Shogakukan & TV Asahi