SARAN USAHAKAN TANAH TERBIAR

Sabtu, 31 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/5

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyarankan kepada orang ramai supaya mengusahakan tanah terbiar di negeri ini bagi mengembangkan lagi sektor pertanian.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan perlu bertindak sebagai fasilitator dengan memberikan bantuan; latihan serta memasarkan hasil tanaman tersebut.

"Kita (Kerajaan Negeri) nak jadikan pertanian dan industri asas tani sebagai (antara) sumber pendapatan yang mampan; kukuh serta menguntungkan.

"Kita (juga) nak galakkan golongan belia ceburi bidang keusahawanan agro makanan bagi memperbanyakkan lagi pelapis dan usahawan baru," katanya..

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Industri Asas Tani (IAT) @ Negeri Sembilan 2019 di Mydin Senawang, di sini, semalam.

Turut hadir adalah beberapa Exco Kerajaan Negeri iaitu YB Tuan Haji Bakri Sawir; YB Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani.

Sementara itu, Aminuddin berkata, beberapa usahawan Negeri Sembilan yang menyertai Malaysia Fest 2019 di Singapura pada 25 Julai lalu berjaya mengutip keuntungan berjumlah RM7 juta.

"Ini satu petanda baik kepada kita bahawa (terdapat) ruang (pasaran) cukup besar untuk eksport barang (produk) Negeri Sembilan di Singapura.

"Peluang seperti ini harus diambil oleh seluruh industri pertanian, untuk kita bangunkan terus industri ini sebagai salah satu sektor terpenting di Negeri Sembilan," katanya