SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2019 NEGERI SEMBILAN TAMPIL KELAINAN

Sabtu, 31 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/7

SEREMBAN: Sambutan Hari Kebangsaan 2019 peringkat Negeri Sembilan menampilkan beberapa kelainan tersendiri.

Kelainan dimaksudkan apabila Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara bersama barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Seterusnya turut ditampilkan persembahan sketsa anti rasuah yang dijayakan dengan penuh semangat dan penghayatan oleh seniman tanah air, antaranya Dato' Jalaluddin Hassan dan Esma Daniel.

Kelainan berkenaan disaksikan hampir 15,000 orang yang membanjiri Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) seawal jam 7 pagi tadi. 
 

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan berangkat ke majlis tersebut bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Binti Tengku Besar Mahmud.

Turut hadir adalah Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat; Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin dan Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin. 

Seramai 5,000 peserta yang terdiri daripada 104 kontinjen menyertai perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Sembilan. 

Perbarisan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan; badan berkanun; badan bukan kerajaan (NGO); pihak sekolah dan institut pengajian serta syarikat swasta. 

Istiadat Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Senawang diketuai oleh Mejar Mohd Asyraf Nazarudin membabitkan 104 pegawai dan anggota. 

Perarakan ini menyaksikan Tentera Darat Malaysia; Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berarak masuk mempamerkan aset masing-masing. 

Istiadat itu turut diiringi oleh Pancaragam Gabungan pasukan 15 RAMD, 24 RAMD dan Pusat Asas Latihan Tentera Darat (PUSASDA), diketuai Staf Sarjan Md Firdaus Yusof dari pasukan 24 RAMD dengan kekuatan seramai 45 anggota.