MANTAI PERDANA DI SETIAP DAERAH PADA 3 JUN

Jumaat, 31 Mei 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/3

SEREMBAN: Program Mantai Perdana sempena Aidilfitri 2019 bakal dianjurkan secara serentak di setiap daerah di Negeri Sembilan pada 3 Jun ini.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Tuan Haji Bakri Sawir berkata, empat lokasi dipilih untuk penganjuran di daerah Seremban, manakala lain-lain daerah hanya melibatkan satu lokasi. 

Menurutnya di Seremban, lokasinya adalah Masjid Dato' Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat; Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR), Paroi; Dewan Orang Ramai Dato' Shahardin, Batu 8, Labu dan Pasar Nilai 3, Blok E, Nilai. 

​​

"Bagi daerah Kuala Pilah, penganjuranya di tapak Pasar Tani Kuala Pilah; Rembau di Dewan Agora; Tampin di Kompleks Arena dan Jempol di tapak Pasar Tani Kekal Bandar Seri Jempol.

"Jelebu pula bertempat di kawasan parkir Dewan D'Sury, Kuala Klawang; Gemas di Dewan Orang Ramai Gemas manakala Port Dickson di tapak Pasar Tani Batu 4, Jalan Pantai.

"Program di Sikamat merupakan peringkat negeri yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun," katanya.

Melalui pendekatan sedemikian, kata beliau, orang ramai tidak perlu lagi tertumpu di Seremban seperti tahun-tahun sebelumnya untuk mendapatkan daging lembu segar.

"Sebanyak 120 ekor lembu akan disembelih di Seremban, manakala 140 ekor di lain-lain daerah. Daging lembu pejal dijual pada harga RM29 sekilogram. 

"Program dijadualkan bermula jam 7 pagi, sehingga stok daging habis dijual. Ayam, itik, puyuh, telur ayam dan sayur-sayuran turut dijual pada hari berkenaan," katanya kepada NS Daily, di sini.