CADANG PENTERNAKAN IKAN DALAM SANGKAR

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Khamis, 31 Januari 2019 

SEREMBAN: Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk menjadikan Sungai Linggi di Port Dickson, sebagai hab penternakan ikan dalam sangkar pada masa depan.

 

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, langkah tersebut dilihat berpotensi untuk membantu nelayan di situ menambah pendapatan masing-masing. 

Namun menurut beliau, projek penternakan itu bakal dilaksanakan dalam skala sederhana selepas mengambil kira keluasan sungai berkenaan.

"Kita memang berminat untuk mengadakan pemeliharaan ikan dalam sangkar. Tapi melihat pada keadaan sungai yang tak lebar dan (nampak) tak bersesuaian untuk dibuat secara maksimum. 

"Jadi kita buat (dalam saiz) yang berpatutan, supaya ekosistem (sungai) itu tak rosak. Di samping itu juga, dapat beri peluang pekerjaan dan perusahaan membela ikan dalam sangkar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Ahli-Ahli Exco Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini.

Turut hadir semasa sidang media adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr Razali Ab Malik.

Sebelum ini NS Daily melaporkan, Sungai Linggi di Port Dickson telah dipilih sebagai santuari buaya bagi kawasan Semenanjung.

Aminuddin berkata, persetujuan itu dinyatakan oleh Kerajaan Persekutuan kira-kira enam bulan lalu.

Menurutnya, Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson telah mengenal pasti tapak seluas setengah ekar untuk diberikan kepada Perhilitan bagi tujuan tersebut.

1/1