LEXIS HIBISCUS RAIKAN 2020 DENGAN PESTA TAHUN BAHARU

Selasa, 31 Disember 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/1

PORT DICKSON: Lexis Hibiscus Port Dickson meraikan ketibaan tahun 2020 dengan menganjurkan Pesta Tahun Baharu, di sini.

Presiden Lexis Hibiscus, Mandy Chew Siok Cheng berkata, pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti menarik sesuai dengan semua peringkat umur.

"Pesta dimulakan dengan jamuan hidangan di Roselle Coffee House, di mana tetamu berpeluang menikmati hidangan lazat berteraskan menu tempatan dan antarabangsa yang disediakan oleh chef-chef hotel.

"Mereka (tetamu) juga diberi pilihan untuk menikmati sajian makanan Jepun di Umi Japanese Restaurant.

"Menjelang waktu petang pula, para tetamu akan menyertai pengunjung luar berkumpul ke kawasan pentas utama Konsert Tahun Baharu di persisiran pantai.

"Sejurus matahari terbenam, mereka (akan) disambut dengan pertunjukan api yang dipersembahkan khas oleh Kelab Sukan dan Rekreasi hotel," katanya.

Menurut Mandy Chew, Kumpulan muzik hotel, Reflection dan Elite Trio akan membuat persembahan lagu bergenre klasik; melodi pop dan lagu yang bersesuaian dengan musim percutian.

"Semasa persembahan nyanyian berlangsung, orang ramai turut dihiburkan oleh DJ dengan alunan muzik rancak.

"Tepat jam 12 tengah malam, satu pertunjukan bunga api panoramik menerangi langit malam.

"Kami amat teruja kerana ramai pelawat bakal sertai bagi meraikan Tahun Baharu pada kali ini. Kami akan anjurkan lebih banyak sambutan perayaan yang menarik untuk tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.