LAPAN PBT LAKSANAKAN BLESS TAHUN DEPAN

Isnin, 30 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/3

KUALA PILAH: Sebanyak lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan akan melaksanakan Sistem Sokongan Elektronik Perlesenan Perniagaan (BLESS) mulai 1 Januari tahun depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato' Dr Razali Ab Malik berkata, orang ramai tidak perlu lagi datang ke kaunter untuk menyerahkan borang permohonan lesen, sebaliknya boleh dilakukan secara dalam talian.

"Sistem seperti ini dah diamalkan di peringkat persekutuan seperti Polis Diraja Malaysia; Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Jabatan Pengangkutan Jalan dan (juga) bank.

"Sistem ini boleh jimatkan masa, selain elakkan masalah kebocoran (maklumat). Sistem ini (dibuat) tanpa kertas untuk didik orang awam buat permohonan secara 'online'.

"Ini (juga) antara penambahbaikan (bagi) sistem penyampaian perkhidmatan awam yang dilakukan (pihak) kerajaan, serta selari dengan saranan Menteri Besar (YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun).

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Minggu Inovasi Peringkat Negeri Sembilan 2019 di Kompleks Rakan Muda, di sini, tempoh hari.