PANTAU BERITA PALSU

Ahad     30 September 2018       

30 sep 4-1.jpg

PORT DICKSON: Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Pakatan Harapan (PH) Parlimen Port Dickson, akan terus memantau kemungkinan ada pihak yang cuba bermain `kotor' dengan mencemarkan reputasi calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui penyebaran berita palsu terlalu melalui laman sosial.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan memastikan segala unsur tidak sihat itu dapat ditangani dengan baik demi memastikan kemenangan Anwar pada PRK berkenaan, 13 Oktober ini.

"Setakat ini kempen yang kita jalankan berjalan lancar apabila ramai pengundi berasa teruja dengan kehadiran Anwar, malah mereka dilihat menyambut baik kehadiran beliau.

"Bagaimanapun, kami akan terus berwaspada dan memantau terutama serang hendap dari pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyebarkan perkara tidak baik atau cuba mencemarkan imej Anwar melalui berita palsu.

"Saya mengharapkan pihak media tidak menerima bulat-bulat dengan sebarang bentuk berita yang mencurigakan, sebaliknya merujuk kepada kami terlebih bagi mendapatkan pengesahan dan kebenarannya," katanya pada sidang media di Bilik Media Utama.

Sementara itu, Masjid Jamek Pasir Panjang dipenuhi orang ramai apabila Anwar turut menyampaikan tazkirah Maal Hijrah di masjid berkenaan selepas solat Zohor.

Tazkirah selama kira-kira 35 minit itu turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Tuan merangkap Pengarah PRK Port Dickson Tuan Haji Aminuddin Harun dan isteri Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof.

Pelbagai perkara disentuh Anwar termasuk menegaskan pendiriannya menolak desakan pihak tertentu yang mahu perkahwinan sama jantina diiktiraf di negara ini.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, golongan yang memperjuangkan agenda lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) tidak sepatutnya memaksa pihak lain menerima pandangan mereka.

“Apa yang mereka buat, kita tak tau, itu dia dengan tuhan. Tetapi nak paksa kita terima kahwin sesama jenis, kita tolak,” katanya.