PENDUDUK PD TERUJA KEHADIRAN ANWAR

Ahad      30 September 2018       

30 sep 3-1.jpg
30 sep 3-2.jpg
30 sep 3-3.jpg
30 sep 3-4.jpg
30 sep 3-5.jpg

PORT DICKSON: Pengunjung dan peniaga Pasar Besar di sini teruja apabila calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melakukan tinjauan mesra, pagi ini.

Ketua Umum PKR itu yang ditemaninya anaknya, Nurul Ilham, tiba jam 8 pagi untuk bertemu orang ramai bagi bertanya khabar.

Ahli politik berpengalaman itu menyapa hampir setiap orang yang berada di situ, malah beliau turut menemui orang ramai yang sedang menikmati sarapan pagi di restoran dan kedai makan sekitar pasar berkenaan.

Beberapa pengunjung dan peniaga tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama pemimpin dan tokoh popular itu.

Rata-rata mereka mengagumi sikap dan penampilan Anwar yang sentiasa tersenyum dan mudah mesra.

"Beliau sudah pasti bakal membawa lebih banyak pembangunan di kawasan ini kerana bakal dipilih sebagai Perdana Menteri kelapan," kata Nor Aziah Othman, 57.

Bagi Mohamad Khairul Izwan Mohd Nor, 27, dia yakin penduduk Port Dickson bakal mendapat banyak manfaat jika Anwar dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu.

"Saya yakin reputasi Port Dickson sebagai pusat pelancongan terkenal akan lebih menyerlah lagi pada masa depan jika Anwar memenangi PRK ini," kata anak jati Port Dickson itu.