PERUNTUKAN RM2.2 JUTA BAIKI LIF RUMAH PANGSA TUN DR ISMAIL

Jumaat, 30 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/5

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukan RM2.2 juta untuk menggantikan empat unit lif Rumah Pangsa Tun Dr Ismail, Templer demi keselesaan dan keselamatan 1,200 penghuninya.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, kerja-kerja penggantian dijangka bermula pada awal Disember tahun ini selepas semua prosedur tender terbuka selesai dilaksanakan.

Menurutnya, sebanyak 238 unit rumah dan 28 unit kedai berada dalam kawasan rumah pangsa ini yang dibina pada tahun 1964 dengan kadar sewaan serendah RM140 seunit.

"Lif bagi rumah ini telah digunakan hampir 55 tahun dan tak pernah diganti baru, (kerana) alat-alat ganti lif ini sukar diperolehi sehingga memerlukan fabrikasi khas.

"Perkara ini menyebabkan (proses) pembaikan kerosakan lif ambil masa yang lama untuk dibaiki. Saya juga dimaklumkan ada dua unit lif telah rosak dan tak berfungsi.

"Kerosakan juga sering berlaku, (malah) penduduk juga mengadu mereka pernah terperangkap dalam lif," katanya.

Aminuddin berkata, kos penggantian ini menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri yang akan dilaksanakan oleh Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan dan memakan masa setahun untuk siap.

Mengulas lanjut, katanya, sebelum ini Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah dana bagi kerja pembaikan dan menaik taraf kemudahan lain di rumah pangsa tersebut. 

"Pada 19 Ogos lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM200,570 bagi kerja-kerja menaik taraf landskap, (seperti) membina pintu gerbang; pemasangan pagar dan membaiki premis yang rosak.

"Kita juga memperuntukkan RM597,629 bagi kerja-kerja penyelenggaraan; pembersihan; membina parkir motosikal berbumbung dan pemasangan alat pemadam api," katanya.

Tambahnya, Ahli Parlimen Seremban, YB Tuan Anthony Loke Siew Fook menyumbangkan sebanyak RM42,000 bagi kerja pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) pada Oktober lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan ke Rumah Pangsa Tun Dr Ismail, di sini, semalam.