PPANS SELAMI KALAMULLAH MENERUSI WORLD #QURANHOUR

Khamis, 30 Mei 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Foto: Ihsan PPANS

SEREMBAN: Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) menyahut seruan program World #QuranHour yang dilaksanakan serentak selama sejam di seluruh dunia pada hari ini, bagi menyelami keindahan Kalamullah.

Pengarah PPANS, Puan Jamilah Haji Katis berkata, program berkenaan merupakan salah satu inisiatif bagi semua kakitangannya untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran melalui Surah Al-Kahfi.

"Kandungan ayat suci itu merupakan ajakan supaya masyarakat memahami intipati dan erti kemerdekaan dalam membangunkan sebuah negara yang aman, utuh dan progresif melalui prinsip Al-Quran.

"Surah ini boleh menjadi persediaan masyarakat dari aspek fizikal, emosi, intelek dan spiritual untuk menangani cabaran dunia masa kini. Pada masa sama, sebagai landasan agar ummah mengemudi hidup berdasarkan perintah Allah," katanya.

Mengulas lanjut program berkenaan, kata beliau, kempen mempromosikan Al-Quran secara berterusan melalui World #QuranHour dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas itu bertemakan 'Solusi Cabaran Sejagat'.

"Ini juga merupakan inisiatif spiritual di bawah kelolaan Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Se-Malaysia, serta disokong oleh Kerajaan Negeri Sembilan.

"Selain acara ini, kita mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Program Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk yang turut disertai kakitangan Perpustakaan Negara Malaysia," katanya.

Tidak cukup dengan itu, kata Jamilah, PPANS turut mengimarahkan lagi bulan Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan dengan amalan bersedekah.

"Kita menyumbangkan juadah bubur lambuk ke rumah anak-anak yatim, orang awam serta jabatan kerajaan di negeri ini," katanya.