35 PERATUS MANIFESTO NEGERI SEMBILAN SELESAI DILAKSANAKAN 

Ahad, 30 Jun 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Foto: Nabilsyafiq MH

1/9

SEREMBAN: Sebanyak 35 peratus daripada senarai perkara dijanjikan untuk kebaikan rakyat menerusi Manifesto Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada PRU14 telah pun selesai dilaksanakan, sehingga hari ini.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin berkata, 35 peratus lagi dalam proses pelaksanaan manakala baki 30 peratus selebihnya pula dalam peringkat kajian terperinci berikutan melibatkan soal perundangan.

"Alhamdulillah, kita di Negeri Sembilan sentiasa mengingati bahawa Manifesto Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan harus dilaksanakan dalam tempoh lima tahun (pentadbiran).

"35 peratus dah selesai, 35 peratus dalam pelaksanaan dan 30 peratus sedang buat kajian kerana melibatkan undang-undang dan peraturan. Jadi tak ada masalah untuk kita sampaikan (kepada rakyat)," katanya.

Tambahnya lagi, banyak inisiatif dan insentif baharu disediakan untuk manfaat rakyat Negeri Sembilan melalui bajet dibentangkan pada Disember tahun lepas.

"Saya yakin pada tahun 2020 ini pun (nanti) dalam bajet kita, (Kerajaan Negeri) akan beri insentif yang baik kepada penduduk dan rakyat Negeri Sembilan. Insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang program Kindness Day: Larian Amal Cabaran Bukit Putus di KipMall, Senawang, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah ADUN Paroi, YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Dato' Haji Zazali Salehudin serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Tuan Nor Azli Mohamad Daud.

Dalam perkembangan lain kata Aminuddin, penglibatan proaktif pihak ADUN merupakan salah satu perkara dititikberatkan bagi melancarkan lagi pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

"Kita dah mengadakan retreat di Melaka, tempoh hari. Antara faktor diutamakan adalah penglibatan ADUN-ADUN kita, bagi memastikan apa jua dirancang dapat dicapai.

"Ketua-ketua jabatan juga kena pastikan apa saja aktiviti atau bajet yang telah diberikan (oleh Kerajaan Negeri) dapat dibelanjakan dengan betul serta dilaksanakan dalam tempoh sehingga hujung tahun ini," katanya.