JEMPOL NAIK TARAF JADI PERBANDARAN

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Rabu, 30 Januari 2019 

JEMPOL: Status Majlis Daerah Jempol kini secara rasmi dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Jempol, mulai malam tadi.

Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berkenan mencemar duli menyempurnakan pengisytiharan berkenaan.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, Majlis Daerah Jempol yang wujud sejak 1 Ogos 1980 merupakan Majlis Daerah keempat di negeri ini yang dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran.

Sebelumnya kata beliau, adalah Majlis Perbandaran Seremban, Majlis Perbandaran Port Dickson dan Majlis Perbandaran Nilai.

Menurutnya, pengisytiharan itu terhasil berikutan Majlis Daerah Jempol berjaya mencapai tujuh kriteria ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Pertama, Jempol merupakan bandar utama atau pusat pentadbiran sesebuah negeri atau pun daerah. Kedua, kepadatan penduduknya tak kurang daripada 15,000 orang.

"Ketiga, mempunyai pendapatan daripada sumber kewangan yang mampan dengan hasil tahunan tak kurang daripada RM20 juta. Keempat, mempunyai kegiatan perindustrian, perniagaan, pelancongan dan perumahan utama. 

"Seterusnya berkeupayaan menyediakan ruang dan peluang kepada para peniaga, di samping menggalakkan pertumbuhan aktiviti pelaburan, perniagaan dan komersial," katanya.

Kriteria keenam pula kata Aminuddin, Jempol mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik dan persekitaran mampan.

"Ketujuh, mempunyai program yang boleh menggalakkan pembangunan komuniti. Selain itu, Majlis Daerah Jempol juga menerima pelbagai pengiktirafan dari segi pengurusan kewangan, perancangan bandar, pengurusan dan inovasi.

"Ini termasuk pencapaian lima bintang Pengauditan Pengurusan Kewangan dan Malaysian Government Portals and Website Assesment.

"Mereka juga dapat tempat kedua bagi kategori Majlis Daerah untuk Penunjuk Pembangunan Bandar Mampan 2017," katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Majlis Perbandaran Jempol di Bandar Seri Jempol, di sini.

Turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu adalah Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.

1/5