TINDAKAN TEGAS TERHADAP INDUSTRI CEMAR SUMBER AIR

Khamis, 29 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
 

1/3

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana industri yang menyebabkan pencemaran sumber air dan alam sekitar.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, langkah itu diambil berdasarkan aduan diterima berhubung isu pencemaran berhampiran sumber air.

"Saya ingatkan kepada semua pihak industri supaya lakukan (proses) pembuangan sisa mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Kita (Kerajaan Negeri) tak teragak-agak untuk ambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak industri yang merosakkan sumber air dan alam sekitar," katanya.
 

Walaupun kes pencemaran sumber air di negeri ini masih dalam keadaan terkawal, katanya, namun beliau tidak mahu kejadian sepertimana di negeri lain berlaku di negeri ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Perlesenan Abstraksi Air Mentah Tahun 2019 anjuran Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) di Klana Resort, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan memberi kerjasama dengan menyampaikan maklumat lebih awal berhubung kes berkenaan.

"Mereka (pengadu) tahu ada pencemaran di kawasan sungai, tapi lepas berlaku baru mereka maklum kepada kita.

"(Oleh itu) kita mahu seluruh penduduk Negeri Sembilan supaya beri maklumat awal untuk Kerajaan Negeri bertindak, melalui BKSANS dan Jabatan Alam Sekitar supaya masalah pencemaran; ganggu (ketidakselesaan) atau masalah lain dapat ditangani dengan lebih awal lagi," katanya.