KUIL TIDAK DIWARTAKAN AKAN DITANGANI DENGAN BAIK

Oleh: Mohd Amin Jalil          Khamis, 29 November 2018 

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil pendekatan yang komprehensif seiring dengan peraturan ditetapkan kerajaan persekutuan dalam menangani isu kuil tidak diwartakan di negeri ini.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, pihaknya tidak menafikan terdapat kuil yang tidak digazetkan, selain dibina di lokasi kurang sesuai seperti di rizab sungai, tepi jalan serta di tanah persendirian selain di bawah talian elektrik dan juga estet.

"Di Negeri Sembilan ada kuil-kuil ini yang telah digazetkan (diwartakan) dan ada juga yang belum digazetkan.

"Kita cuba memperbaiki keadaan ini supaya tidak lagi berlaku perkara seperti mana insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya.

"Sebelum ini kerajaan negeri telah meminta rumah-rumah ibadat di negeri ini diwartakan supaya mudah bagi kita membuat pemantauan dan kawalan.​

"Sebab itu kerajaan negeri mewujudkan jawatan Exco yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Bukan Islam, untuk memastikan tempat-tempat ibadat bukan Islam didaftarkan dan dikawal mengikut peraturan yang ditetapkan.

 

​"Apa yang penting adalah memastikan tempat ibadat ini berjalan dengan baik," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di kediaman rasminya, di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada penduduk Port Dickson dan sebahagian di Seremban yang bersabar berikutan masalah catuan air, baru-baru ini.​Aminuddin berkata, masalah itu berjaya diselesaikan apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi dapat beroperasi semula,

 

Selasa lalu.​"Kita membelanjakan sebanyak RM200,000 bagi menangani masalah itu dan saya ucapkan terima kasih pada pelbagai pihak dan agensi yang membantu membekalkan air kepada penduduk menerusi lori," katanya.

29 nov 3-1.JPG