PENCAPAIAN UPSR NEGERI SEMBILAN MEMBANGGAKAN

Oleh: Mohd Amin Jalil          Khamis, 29 November 2018 

SEREMBAN: Kerajaan negeri berpuas hati dengan prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018, di negeri ini yang menunjukkan pencapaian cemerlang.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, prestasi yang ditunjukkan hampir keseluruhan sekolah kebangsaan (SK) di negeri ini sangat membanggakan.

"Malah terdapat dua sekolah luar bandar iaitu Sekolah Kebangsaan Pilin di Rembau dan Sekolah Kebangsaan Peradong di Jelebu mendapat keputusan 100 peratus dalam UPSR.

"Walaupun kedua-dua sekolah berkenaan kekurangan murid, namun prestasi dipamerkan amat membanggakan sekali gus membuktikan murid dan sekolah luar bandar juga boleh mendapat keputusan cemerlang.
 

"Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada murid, guru dan ibu bapa yang berkerja keras memastikan pencapaian cemerlang dalam UPSR tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan keputusan UPSR di SK Taman Tuanku Jaafar 2 Senawang, dekat sini, hari ini.

Hadir sama adalah isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Pkharuddin Hj Ghazali.

Mengenai kebimbangan ibu bapa terhadap anak mereka yang tidak mendapat banyak A dan mungkin jadi penghalang bagi murid terbabit masuk ke asrama, Aminuddin berkata, mereka tidak perlu bimbang.

"Syarat untuk masuk ke asrama bukan diukur dari segi jumlah bilangan A tetapi pelbagai kriteria lain turut diambil kira termasuk pencapaian kokurikulum, sahsiah dan beberapa aspek lain. Justeru, peluang untuk murid masuk ke asrama tetap terbuka," katanya.

Sementara itu, beberapa murid SK Taman Tuanku Jaafar 2 akui bahawa mereka terkejut apabila menerima keputusan UPSR daripada Menteri Besar.

"Saya rasa amat gembira kerana naik ke pentas dan menerima keputusan peperiksaan daripada Menteri Besar.

"Keputusan yang diperoleh hari ini menjadi satu kepuasan bagi saya," kata Sarah Alya Khairul Azrin, 12, mendapat 6A.