MASJID PERLU LEBIH MESRA KANAK-KANAK

Rabu, 29 Mei 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Live Video: Mohd Zamzuri Daud
Foto: Nabilsyafiq MH

1/7

SEREMBAN: "Kadang-kadang saya tengok anak-anak berlari di (bahagian) belakang (kawasan tempat solat) pun dah kena tempik, saya jadi terasa hati.

"Walaupun bukan anak saya, tapi saya takut bila tengok perkara itu berlaku. Saya takut anak-anak tak mahu (lagi) datang ke masjid pada masa akan datang.

"Sebab mereka tahu, itu tempat untuk dimarahi. Itu yang kita nak supaya masjid mesra dengan anak-anak," ujar Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

Tanpa pendekatan yang bersifat lebih mesra katanya, dikhuatiri akan menjadi tembok penghalang untuk kanak-kanak berkunjung ke masjid pada masa akan datang.

"Memang kita tahu, anak-anak akan bermain dan buat bising di masjid. Tapi itulah (memerlukan) kebijaksanaan (pihak pengurusan masjid) supaya tak menghalau.

"Sebaliknya (perlu) menyediakan kemudahan pada anak-anak untuk bermain dan bergaul sesama sendiri. Bagi yang dah besar sikit dan faham hukum (agama), kita rasa tak menjadi masalah," katanya.

Menurutnya pendekatan yang kasar bukan sahaja tidak relevan, malah turut merencatkan semangat ibu bapa untuk mengimarahkan masjid.

"(Apa) yang kita ceritakan ini adalah anak-anak (kecil), di mana ibu bapanya memang teringin nak solat di masjid. Jadi mereka bawa anak-anak.

"Tapi bila anak-anak dimarah dan diherdik, ibu bapa (yang terlibat) juga akan kecewa. Akhirnya mereka pun takkan datang ke masjid dan ini akan merugikan umat kita," katanya.

Tambah Aminuddin, tiada masalah jika ruang khas disediakan untuk kanak-kanak bermain memandangkan kebanyakan masjid di negeri ini cukup besar dan luas.

"(Melainkan) kalau masjid itu dah penuh sangat (sampaikan) anak berlari depan orang tengah bersolat, itu akan jadi masalah.

"Tapi kalau setakat anak bermain di (bahagian) belakang (kawasan tempat solat), itu tak jadi persoalan," katanya.

  

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Negeri Sembilan Beriktikaf di Masjid At-Taqwa, Kariah Kampung Paroi, di sini, baru-baru ini.